• Adira Sudah Lali Cemuhan Netizen Terhadap Diri

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+


    PENYANYI, Adira akui malas melayan tohmahan negatif netizen yang mengkritik tindakannya dan aktres, Izreen Azminda menjadi penghias wajah muka depan salah sebuah majalah popular, baru-baru ini.

    Difahamkan kedua-dua selebriti tersebut menjadi sasaran apabila majalah berkenaan menggunakan tajuk ‘Naluri Isteri Nombor 2’ yang mana dilihat mencetuskan pelbagai reaksi tidak puas hati dalam kalangan netizen terutamanya wanita.

    Rata-rata antara mereka beranggapan majalah berkenaan tidak sewajarnya mengangkat kedua-dua selebriti berkenaan.

    Ekoran daripada itu, pelbagai cemuhan negatif mula dilemparkan bagi memboikot majalah tersebut.

    Susulan perkara itu, Adira dengan tenang mengakui dia sudah lali dengan segala cemuhan negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.

    Malah, lebih selesa mengambil langkah berdiam diri serta menganggap hal itu sebagai asam garam dalam kehidupan seorang anak seni.

    “Kalau layan memang sakit hati jadi lebih baik jangan layan kerana lama-lama mereka akan diam sendiri. Saya sendiri dah bermacam-macam kontroversi yang saya lalui jadi saya dah lali, katalah apa pun,” katanya seperti dipetik mStar Online, hari ini.

    Dalam pada itu, Adira berkata dia sama sekali tidak mempunyai sebarang masalah dengan tajuk yang digunakan kerana beranggapan ia sebahagian daripada teknik pemasaran dalam urusan melariskan jualan.

    “Bukannya saya minta tajuk begitu tetapi saya secara peribadi tiada masalah dengan pemilihan tajuk tersebut. Tetapi saya faham isu melibatkan poligami memang perkara sensitif dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

    Sementara itu, Adira turut memberitahu bahawa dia juga yakin Izreen tabah dan kuat dalam mengharungi segala kecaman netizen terhadap diri aktres berkenaan.

    “Saya pernah lalui perkara sama sebelum ini dan rasa kasihan juga dengan Izreen kerana teruk dihentam netizen. Tetapi saya tahu Izreen seorang wanita yang kuat dan tabah,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Adira dikatakan bakal muncul dengan single terbaru bertajuk, Sembunyi selain dimaklumkan bakal kembali sibuk dengan kerjaya seninya selepas ini. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Adira Sudah Lali Cemuhan Netizen Terhadap Diri "