• Abe Tekad Pindah Pangkalan AS

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyambut baik kemenangan calon parti yang disokong kerajaan dalam pilihan raya di Okinawa dan berikrar untuk meneruskan rancangan kontroversi memindahkan pangkalan udara Marin Amerika Syarikat di selatan pulau itu.

    Calon Taketoyo Toguchi, yang disokong parti gabungan Abe, mengalahkan penyandang Susumu Inamine, yang menentang perpindahan pangkalan udara AS Futenma ke Nago di utara Okinawa dari pulau yang padat penduduk itu.

    Kemenangan Toguchi yang berjanji untuk meningkatkan ekonomi Okinawa dalam kempennya, dijangka memberi dorongan kepada rancangan untuk memindahkan pangkalan itu yang lama tergendala.

    Pemilihan itu diadakan beberapa hari sebelum Naib Presiden AS, Mike Pence dijangka melawat Jepun minggu ini dalam lawatan yang dijangka tertumpu kepada hubungan keamanan dalam menghadapi ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

    "Saya ingin meneruskan penempatan semula ini berdasarkan keputusan Mahkamah Agung Jepun, sambil mendapatkan persetujuan orang ramai," kata Abe kepada wartawan.

    Rancangan menempatkan pangkalan udara AS di Jepun pertama kali dipersetujui antara Tokyo dan Washington pada 1996.

    Penduduk Okinawa sekian lama mengaitkan kehadiran ketenteraan AS dengan jenayah, pencemaran dan kemalangan selain kebencian yang dibangkitkan semula susulan insiden membabitkan pesawat tentera AS.

    Pada Disember lalu, tingkap sebuah helikopter AS jatuh ke atas padang sebuah sekolah, mencetus kebimbangan membabitkan keselamatan. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Abe Tekad Pindah Pangkalan AS "