• Abang Jo Mahu Sibu Dan Lanang Kembali Ke Pangkuan BN

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+

    SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kerusi Parlimen Sibu dan Lanang harus dikembalikan ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

    Katanya, rakyat di kedua-dua kawasan tersebut harus bersatu dan menyokong penuh calon BN untuk kesinambungan pembangunan di bahagian ini.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, penduduk Sibu harus berfikir secara rasional kerana keputusan mereka akan menentukan masa depan Sibu.

    “Demi kesinambungan pembangunan di Sibu dan manfaat generasi muda di sini, kerusi Parlimen Sibu dan Lanang harus bersama BN.

    “Sokongan itu penting bagi memudahkan wakil rakyat BN menyuarakan masalah dan permintaan rakyat kepada kerajaan persekutuan,” katanya di sini semalam.

    Katanya, beliau bersetuju supaya kegiatan pembangunan di Sibu diperhebatkan seperti di bahagian-bahagian lain di negeri ini.

    “Ianya termasuk melaksanakan rancangan pembangunan semula kawasan Bukit Assek, pembesaran Poliklinik Oya dan tempat letak kereta Hospital Sibu, menaik taraf sistem lalu lintas bagi mengurangkan kesesakan, menjadikan Sibu sebagai hab komersil, pembinaan sekolah teknologi serta menggalakkan potensi pelancongan di Batang Rajang.

    Tambahnya lagi, kesemua rancangan ini dapat direalisasikan sekiranya BN diterima baik dan mendapat sokongan padu rakyat di bahagian ini memandangkan suara wakil rakyat BN mudah didengari kerajaan persekutuan.

    Justeru katanya, sasaran BN untuk memenangi semula kerusi Parlimen Sibu dan Lanang juga tidak mustahil jika semua parti komponen BN Sarawak bergabung tenaga memastikan kemenangan calonnya di kerusi berkenaan.

    “Apatah lagi SUPP kini dilihat sudah pulih daripada krisis dalaman yang dialaminya,” ujar beliau.

    Beliau turut menegaskan agar SUPP serta parti komponen BN Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu berusaha keras untuk memenangi semula kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan. – Sarawakiana
  • No Comment to " Abang Jo Mahu Sibu Dan Lanang Kembali Ke Pangkuan BN "