• 9 suspek kes curi mesin bitcoin dicekup

    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    POLIS menahan sembilan individu dalam enam serbuan berasingan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak pada 23 Febuari hingga semalam berhubung kes kecurian mesin bitcoin bernilai lebih RM1 juta di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung kecurian di sekitar daerah itu bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

    “Berdasarkan laporan yang diterima, 153 mesin bitcoin termasuk mesin jana kuasa yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dilaporkan hilang di daerah ini bagi tempoh 17 Januari hingga 15 Febuari lalu.

    “Hasil maklumat dan risikan dilakukan, kami menahan sembilan individu warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang terdiri daripada penjual (yang mencuri), orang tengah serta pembeli.

    “Mereka ditahan dalam enam serbuan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Kuching Sarawak bermula 23 Febuari lalu hingga semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

    Megat berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya menemui semula 57 mesin serta penjana kuasa bitcoin yang dipercayai dicuri daripada pihak yang membuat lima laporan polis sebelum ini.

    “Kami masih memburu beberapa individu lain yang terbabit dengan kes berkenaan termasuk seorang lelaki yang juga dalang dalam kegiatan ini.

    “Pada masa yang sama, kami menyeru kepada individu yang membeli mesin bitcoin yang dipercayai daripada kegiatan curi, diminta supaya tampil memberikan kerjasama dengan pihak polis untuk siasatan lanjut.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan, Sekyen 457 dan Seksyen 411 akta yang sama kerana mencuri dan memiliki barang curi,” katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " 9 suspek kes curi mesin bitcoin dicekup "