• 851 Syarikat Francais Berdaftar Dengan KPDNKK

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Industri francais tempatan terus berkembang pesat apabila sehingga kini, sebanyak 851 syarikat francais daripada pelbagai sektor berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 65 jenama francais tempatan berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 66 negara.

    "Pertumbuhan positif itu selaras hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau di Asia Tenggara pada 2020.

    "Pada tahun lalu, industri francais menyumbang RM27.89 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Francais International Malaysia (FIM) 2018 di sini, hari ini.

    FIM 2018 anjuran KPDNKK dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata, sempena sambutan 25 tahun penganjuran FIM, beberapa perubahan dan penambahbaikan akan diadakan bagi memastikan penganjurannya terus relevan dan memenuhi kehendak industri francais semasa.

    "Melalui FIM 2018 ini, usahawan francais tempatan dapat mempelajari dan berkolaborasi dengan usahawan francais luar negara kerana ia adalah platform yang mempertemukan penggiat industri francais dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman, idea dan pengetahuan terkini bagi menyemarakkan lagi pembangunan industri francais Malaysia.

    "FIM 2018 dijangka menarik seramai 12,000 pengunjung dan 120 pempamer membabitkan 90 francaisor dan 30 usahawan PKS, selain 300 peserta persidangan dari dalam dan luar negara.

    "Bagi FIM tahun ini, kementerian dan MFA menyasarkan jangkaan pelaburan francais berjumlah RM380 juta sepanjang tiga hari berlangsung, manakala pada tahun lalu, ia berjaya menghasilkan pelaburan langsung sebanyak RM373 juta," katanya.

    Sum Agong berkata, FIM adalah satu-satunya pameran francais di Malaysia yang disokong penuh penganjurannya oleh World Franchise Council (WFC), Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

    "Justeru rebutlah peluang keemasan untuk bertemu lebih 100 jenama francais tempatan dan antarabangsa serta mengenal pasti kaedah atau cara untuk mentransformasikan perniagaan sedia ada kepada konsep perniagaan francais," katanya. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 851 Syarikat Francais Berdaftar Dengan KPDNKK "