• 790 PATI Filipina Dihantar Pulang

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+


    SANDAKAN: Seramai 790 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan di sini, malam tadi.

    Semua PATI terbabit berusia antara lapan hari hingga 70 tahun dihantar dengan menaiki kapal MV Antonia 1 ke Zamboanga, Filipina.

    Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PATI berkenaan membabitkan 560 lelaki, 188 wanita dan 42 kanak-kanak.

    "Penghantaran ini menjadikan jumlah PATI diusir dari Sabah sejak awal tahun hingga malam ini ialah 1,567 orang. PATI diusir sejak tahun lalu hingga hari ini pula ialah 13,540 orang.

    "Jumlah PATI diusir dari negeri ini, termasuk pulang secara sukarela, sejak 1990 ialah 566,191 orang," katanya kepada media di Kapal MV Antonia 1 di Pelabuhan Sandakan sempena pengusiran PATI, malam tadi.

    Mohd Rodzi berkata, pengusiran itu adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kehadiran PATI di Sabah.

    "Bagi penghantaran kali ini, mereka ditempatkan di ruang penumpang kapal di tingkat tujuh (paling atas) yang memiliki kelengkapan tempat tidur berkatil dan tilam. Ruangan ini juga ada kantin sendiri.

    "Selain itu, mereka boleh memilih ruangan di tingkat lima kapal. Ia lebih selesa kerana ada pendingin hawa. Kapal ini juga menyediakan ruang beriadah," katanya.

    Dalam pada itu, pihak tertentu diingatkan usah membuat dakwaan tidak berasas yang boleh membawa implikasi negatif berhubung pengusiran PATI, kononnya ia dilaksana kerana berunsurkan politik semasa di negeri ini.

    "Kerajaan dan MKN Sabah sentiasa bertindak sejajar undang-undang negara serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    "MKN Sabah tidak berganjak dalam usaha menjadikan negeri ini mencapai matlamat sifar PATI dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi keselamatan serta kemakmuran rakyat," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 790 PATI Filipina Dihantar Pulang "