• 63 Kaki Judi Ditahan Di Sarawak

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+


    KUCHING: Seramai 63 individu ditahan dalam serbuan membanteras judi di negeri ini bagi temoh 29 Januari hingga semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, pihaknya kini memfokuskan kepada aktiviti loteri haram, perjudian atas talian, berjudi secara terbuka dan premis perjudian.

    Menurutnya, pihak polis telah menjalankan serbuan di beberapa premis kedai serbaneka dan kedai kopi yang menjadi agen menjual tiket prabayar untuk judi atas talian.

    "Dalam sembilan serbuan yang dijalankan di lima daerah masing-masing di Padawan, Kota Samarahan, Betong, Marudi dan Julau membawa kepada penahanan 12 individu serta polis merampas wang tunai RM3,595 serta 12 telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

    Jelas Dev dalam tempoh sama, polis menjalankan 16 serbuan penjualan loteri haram di sembilan daerah dan menahan 18 individu serta merampas wang tunai RM2,392 bersama pencetak, kalkulator dan slip pertaruhan.

    Tambah Dev,bagi serbuan perjudian di tempat terbuka, pihaknya menyerbu sebuah kedai di Simpang Ngu, Niah di Miri dan menahan 12 lelaki berusia 25 hingga 52 tahun yang sedang leka bermain judi 'pai kow' selain wang tunai RM5,152 turut dirampas.

    Kesemua yang ditahan kini akan menjalani siasatan mengikut pelbagai seksyen di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-Sarawakiana
  • No Comment to " 63 Kaki Judi Ditahan Di Sarawak "