• 5 Ditahan Terlibat Perniagaan Pinjaman Wang Tanpa Lesen

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    LABUAN – Lima individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen di sebuah premis di Jalan Bunga Mawar di sini semalam.

    Dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, kelima-lima suspek berusia antara 24 hingga 28 tahun yang ditahan merupakan pembantu kedai di premis tersebut.

    Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, modus operandi syarikat terbabit adalah meletakkan kad perniagaan dan risalah dalam menawarkan pinjaman wang di kenderaan orang awam.

    “Risalah itu akan diselitkan di cermin dan pintu kereta serta diletakkan di dalam bakul motosikal bagi memancing mangsa.

    "Hasil siasatan mendapati premis atas nama syarikat, Botung Trading Services ini menjalankan perniagaan pinjaman wang yang tidak berdaftar dan tidak memiliki lesen sah daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan,” katanya hari ini.

    Tambah Muhamad Farid, dalam serbuan berkenaan pihak polis telah merampas wang tunai bernilai RM34,133.30 yang disimpan di dalam laci sebuah meja termasuklah barangan eksibit lain seperti 75 keping risalah, kad perniagaan (1,663 keping) dan 11 keping kad ATM.

    “Kesemua suspek kini direman selama tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana kesalahan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Ditahan Terlibat Perniagaan Pinjaman Wang Tanpa Lesen "