• 40 Peratus Bangunan Baharu Di Malaysia 'Lebih Hijau'

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+



    KUALA LUMPUR – Kira-kira 40 peratus bangunan baharu di Malaysia mengamalkan inisiatif bangunan hijau dengan menggunakan perancangan dan reka bentuk yang lebih bercirikan kecekapan tenaga serta pelepasan sifar karbon.

    Setiausaha kehormat Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (GBC) CK Tang berkata kesedaran untuk mengamalkan inisiatif itu, terutama dalam kalangan pemaju dan profesional, bermula sejak wujudnya Indeks Bangunan Hijau lapan tahun lepas.

    “Bangunan hijau lebih murah daripada bangunan konvensional kerana kita dapat jiimatkan hingga 10 peratus penggunaan tenaga, manakala bangunan konvensional mahal kerana ia melibatkan begitu banyak pembaziran apabila kita berlebihan dari segi reka bentuk seperti memasang pendingin udara yang besar, tetapi kita menggunakan separuh daripadanya sahaja,” kata beliau.

    Tang menyatakan perkara itu kepada Bernama selepas sesi perkongsian bertajuk Mencapai Bangunan Cekap Tenaga, Pelepasan Sifar bagi Bandar Raya Lestari dan Bebas Pencemaran pada Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF-9) di sini hari ini.

    Beliau berkata kebanyakan bangunan lama tidak mengamalkan inisiatif hijau serta dilengkapi pendingin udara, komputer meja dan lampu yang memerlukan penggunaan lebih banyak tenaga.

    Oleh itu, kata beliau, beralih kepada penggunaan peralatan yang tepat untuk bangunan seperti komputer riba juga boleh membantu mengurangkan dengan banyaknya penggunaan tenaga kerana komputer riba tidak menghasilkan kadar haba sebanyak yang dihasilkan komputer meja dan ini sekali gus mengurangkan penggunaan pendingin udara.

    Tan berkata penggunaan lampu LED (Light Emitting Diode) untuk bangunan dan rumah juga membantu mengurangkan pelepasan karbon hingga sebanyak 80 peratus kerana lampu jenis itu kurang menghasilkan haba, tetapi cahayanya lebih terang, berbanding lampu kalimantang, yang menghasilkan lebih banyak haba dan tidak cekap.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 40 Peratus Bangunan Baharu Di Malaysia 'Lebih Hijau' "