• 4 Pasukan Liga Super Bakal Berdepan Tindakan FIFA?

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Empat pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Perak, Melaka United dan PKNS FC kemungkinan berdepan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila dikatakan masih lagi mempunyai kes tunggakan gaji pemain yang belum diselesaikan.

    Maklumat mengenainya tersebar di laman media sosial, semalam dengan Kelantan didakwa mempunyai empat kes dengan FIFA dan dua kes yang sudah dilaporkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Melaka (dua kes FIFA), Perak (satu kes FIFA) serta PKNS (1 kes FIFA dan 1 kes FAM).

    Dua lagi pasukan Liga Super, Pahang hanya mempunyai satu kes tunggakan gaji dengan FAM manakala PKNP FC dua kes.

    Selain itu, pasukan Liga Perdana juga tidak terkecuali dengan Kuantan FA berdepan kes lebih berat dengan enam kes dibawa ke FIFA dan 21 kes FAM, Sarawak (satu kes FIFA, 2 kes FAM), Pulau Pinang (satu kes FIFA dan tiga kes FAM) dan FELCRA FC (dua kes FAM).

    Pasukan Piala FAM, ATM juga dikatakan mempunyai satu kes dengan FIFA manakala Perlis (dua kes FIFA dan 1 kes FAM).

    Kes yang disenaraikan dikatakan masih menunggu keputusan daripada FIFA dan ada daripadanya sudah diputuskan seperti kes membabitkan Kuantan FA yang diarahkan oleh Jawatankuasa Status FAM untuk melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam pemain sebelum 15 Januari lalu.

    Difahamkan ada juga kes membabitkan tuntutan pemain yang tidak mengikut kontrak yang ditandatangani atau persetujuan penyelesaian bersama sehingga mendorong pasukan atau kelab terbabit enggan membuat bayaran.

    Sementara itu, pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid mengesahkan PKNS masih mempunyai kes dengan FIFA berhubung tuntutan gaji oleh bekas pemain import dari Argentina, Lucas Espindola tetapi sehingga kini masih menunggu keputusan.

    "Ia kes sebelum ini, kami memiliki dokumen lengkap berhubung tuntutan pemain berkenaan, jadi kami tidak ada masalah, kami hanya menunggu maklum balas daripada FIFA," katanya ketika dihubungi.

    Tahun lalu, empat pasukan Liga Malaysia, Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM dikenakan hukuman pemotongan mata oleh Perkongsian Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) kerana masalah pendaftaran pasukan yang turut membabitkan tunggakan gaji pemain.

    Pada November 2015, Pahang menerima padah apabila dipotong enam mata oleh FAM selepas kes tunggakan gaji pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji dibawa ke pengetahuan FIFA. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 4 Pasukan Liga Super Bakal Berdepan Tindakan FIFA? "