• 4 Hari Bicara Kes Saman Fitnah Terhadap Zuraida

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan empat hari bermula 23 Julai depan untuk perbicaraan kes saman Penolong Setiausaha Persekutuan Catur Malaysia, Sophian A Yusuf terhadap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung fitnah membabitkan pakaian kanak-kanak perempuan dalam pertandingan catur tahun lalu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di dalam kamarnya di sini.

    Sophian diwakili peguam Mohd Harris Abdullah, manakala Zuraida diwakili Shahid Adli Kamarudin.

    Shahid Adli berkata, mahkamah juga menetapkan 13 April ini untuk pengurusan kes.

    Berdasarkan penyata tuntutan, pada 20 Julai tahun lalu, Sophian memfailkan saman itu dengan menamakan Zuraida sebagai defendan melalui Tetuan Mohd Harris.

    Sophian mendakwa dia dilantik sebagai Pengarah Pertandingan bagi Kejuaraan Catur Scholastic Kebangsaan 2017 yang diadakan di Putrajaya dari 14 April hingga 16 April 2017.

    Beliau mendakwa, pada 29 April tahun lalu defendan secara melulu, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

    Katanya, kenyataan fitnah membawa maksud dia seorang pedophilia dan teruja dengan hanya melihat cara pakaian kanak-kanak berumur 12 tahun dan mendakwa kenyataan fitnah itu diedarkan untuk diterbitkan dalam akhbar serta portal untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah, reputasi dan integriti plaintif yang terkenal dalam dunia catur tempatan serta dunia.

    Susulan itu, plaintif memohon perintah terhadap defendan supaya menarik kenyataan itu oleh akhbar dan portal dalam masa tujuh hari serta injunksi kekal yang melarang defendan atau wakilnya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan fitnah berkenaan.

    Selain itu, plaintif juga meminta defendan mengemukakan permohohon maaf di akhbar arus perdana dan ganti rugi am, khas, teladan, teruk, kos serta lain-lain faedah.

    Sementara itu, Zuraida dalam kenyataan pembelaannya mendakwa penerbitan kenyataannya itu dibuat dalam keadaan berkepentingan perlindungan bersyarat dan tanpa sebarang niat jahat.

    Beliau mendakwa, perkataan itu dibuat berdasarkan pendapat diberikan secara komen berpatutan dalam perkara membabitkan kepentingan awam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 4 Hari Bicara Kes Saman Fitnah Terhadap Zuraida "