• 36 ahli Geng 04 tiba di mahkamah untuk pendakwaan

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    gambar Utusan
    Seramai 36 tertuduh ahli kumpulan kongsi gelap dikenali 'Geng 04' tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh di sini hari ini pada pukul 9 pagi.

    Kesemua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan khas diiringi kenderaan polis dan sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

    Terdahulu polis mengadakan kawalan keselamatan yang ketat bagi membawa 36 ahli kumpulan itu dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen Ipoh.

    Kesemua 36 ahli kumpulan tersebut di bawa ke mahkamah menaiki dua buah kenderaan polis Black Maria diiringi kereta polis serta polis trafik.

    Kenderaan membawa mereka keluar dari bangunan IPK di Jalan Sultan Iskandar pada pukul 8.50 pagi melalui Jalan Panglima Bukit Gantang ke Mahkamah Sesyen Ipoh yang terletak kira-kira 500 meter.

    Kesemua ahli kumpulan itu termasuk seorang bergelar Datuk yang ditahan dalam operasi khas, Op Cantas Silver sejak 27 Januari lalu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli sesuatu kumpulan jenayah terancang.

    Mereka yang berusia antara 20 hingga 60 tahun itu merupakan pemimpin tertinggi geng berkenaan yang aktif dalam jenayah terancang serius di negeri ini termasuk bunuh, samun, pemerasan, khianat dengan api serta pengedaran dadah. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " 36 ahli Geng 04 tiba di mahkamah untuk pendakwaan "