• 30 Ahli Bomba Komuniti DUN Pantai Damai 'Jenguk' Simanggang

    Published: Saturday, 24 February 2018
    A- A+

    SRI AMAN: Seramai 30 ahli Bomba Komuniti Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mengadakan lawatan jalinan mesra ke kawasan DUN Simanggang bertempat di Rumah Empol, Batu Lintang Undop.

    Lawatan rombongan tersebut diketuai pengerusinya, Rosmah Zaini.

    Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Dr Abdul Rahman Junaidi yang turut bersama rombongan tersebut berkata, tujuan lawatan tersebut adalah untuk menjalinkan kemesraan dan memberi pendedahan antara ahli bomba komuniti.

    Malah menurutnya, sambutan terhadap bomba komuniti amat baik terutama di kalangan generasi muda di kawasan DUN Pantai Damai.


    "Sebilangan besar kampung dan taman perumahan di DUN Pantai Damai mempunyai bomba komuniti," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.

    Beliau menjelaskan, penyertaan dalam bomba komuniti memberi banyak manfaat terutama ketika menghadapi kebakaran.

    "Ia juga dapat membawa golongan muda menyertai bomba komuniti secara tidak langsung mengelak mereka melakukan perkara tidak berfaedah kerana turut diberikan latihan asas daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," ujarnya.

    Sementara itu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden berkata, sudah pasti lawatan seperti itu akan memberi pengalaman menarik kepada ahli terlibat terutama dalam aspek keadaan sekitar dan adat resam.


    "Kehidupan di bandar dan luar bandar banyak perbezaan lebih-lebih lagi adat resam selain kewujudan rumah panjang," jelasnya.

    Hadir sama Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohamed.-Sarawakiana
  • No Comment to " 30 Ahli Bomba Komuniti DUN Pantai Damai 'Jenguk' Simanggang "