• 3 Termasuk Bapa 2 Pemain Sarawak Buat Laporan Polis

    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Bapa kepada dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mazwandi Zekeria, 29, dan Mohamad Hafiz, 28, membuat laporan polis setelah tidak puas hati terhadap tuduhan FAS bahawa anak mereka terlibat menjual perlawanan sebelum ini.

    Laporan juga dibuat oleh Mohamad Zaiman Rosli, 34, yang turut disiasat berhubung dakwaan sama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Balai Polis Sentral di sini hari ini.

    Ketiga-tiga mereka tiba di balai berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi bersama peguam dan selesai membuat laporan sejam setengah kemudian.

    Selepas itu, Mazwandi bersama Mohamad Hafiz dan Mohamad Zaiman diwakili peguam mereka, Irawan Sudarsono mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjelaskan isu tersebut.

    Menurut Irawan, anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan dibuat SPRM dan berharap ia dapat membersihkan nama dan reputasi mereka.

    "Walau bagaimanapun, klien kami amat kecewa dengan cara FAS mengendalikan siasatan atau tuduhan.

    "Kita percaya terdapat kelakuan salah berkaitan kebenaran terhadap anak guam dan tanggapan salah ke atas perwatakan sepanjang berkhidmat sebagai pemain profesional dengan membuat aduan kepada SPRM dakwaan kes mengatur perlawanan," ujarnya.

    Beliau berkata, pihaknya akan melihat semua kebarangkalian termasuk mengambil tindakan sivil terhadap FAS untuk menuntut keadilan bagi ketiga-tiga anak guamnya itu.

    "Sehingga kini, tiada permohonan maaf daripada FAS berikutan impak siasatan atau dakwaan terhadap mereka," jelasnya.-UTUSAN ONLINE



  • No Comment to " 3 Termasuk Bapa 2 Pemain Sarawak Buat Laporan Polis "