• 3 Tahun Penjara Miliki Racun, Daun Ketum

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+


    KOTA BHARU: Padah memiliki racun berbahaya etizolam, seorang lelaki dipenjara tiga tahun di Mahkamah Majistret hari ini.

    Majistret Kamarul Hasyime Rosli mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Zulharizam Ismail, 39, mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

    Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua tahun bagi dua kesalahan memiliki daun ketum.

    Mahkamah memerintahkan semua hukuman bermula hari ini

    Dua rakannya Mohd Faiz Fauzi, 26 dan Mohd Amirrudin Fauzi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki daun ketum itu.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki racun berbahaya etizolam seberat 55.1 gram di sebuah rumah di Kampung Dalam Kar di sini pada jam 1.35 pagi, 13 September 2017.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa bersama-sama dua rakannya memiliki daun ketum dengan berat masing-masing 210 kilogram (kg) dan 160 kg.

    Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan dihukum mengikut seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.

    Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah dan menahan tertuduh bersama dua rakannya.

    Pemeriksaan lanjut di dapur menemui 74 bungkus berisi daun ketum dan racun etizolam.

    Tertuduh bersama dua rakannya kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut.

    Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin memohon hukuman berat untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Tahun Penjara Miliki Racun, Daun Ketum "