• 3 Didakwa Bunuh Pegawai JPJ

    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    PONTIAN: Tiga sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pontian dalam kejadian pada Januari tahun lalu.

    Semua tertuduh, Mohammad Khalifah Yahya, 24; Abdul Shukur Abdul Ghani, 26, dan S Ragu, 38, mengangguk kepala tanda faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu serta Tamil.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azlan Bohari.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa membunuh Jaiman Sapar, 54, di halaman rumah di Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong di sini.

    Mereka dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu pada jam 1 tengah hari, 27 Januari tahun lalu.

    Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Baiduri Mustakim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mac depan.

    Terdahulu, semua tertuduh berpakaian lokap polis berwarna oren menaiki trak polis tiba di Mahkamah Majistret Pontian pada kira-kira jam 9 pagi.

    Prosiding di mahkamah bermula jam 9.30 pagi itu menyaksikan keluarga semua tertuduh dan ahli keluarga mangsa hadir bagi mendengar kes berkenaan.

    Kes didengar kira-kira lima minit itu turut menyaksikan tertuduh pertama, Mohammad Khalifah berdepan tiga kes pecah rumah antara Oktober tahun lalu hinggga awal tahun ini.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan itu dan minta dibicarakan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Didakwa Bunuh Pegawai JPJ "