• 20 ditahan dokumen pengenalan diri palsu

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya menahan 20 individu warga Filipina bagi membantu siasatan pelbagai kes penyalahgunaan dokumen pengenalan diri Malaysia, dalam operasi di Johor Bahru, Johor, awal pagi tadi.

    Operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula jam 1 hingga 4 pagi selepas siasatan serta risikan dijalankan hampir sebulan lalu.

    Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata pihaknya berjaya menemui kad pengenalan dan dokumen pendaftaran negara palsu yang dipercayai digunakan oleh mereka.

    "Hasil semakan awal di lokasi terbabit mendapati semua tahanan dipercayai menggunakan dokumen palsu itu bagi mendapatkan pekerjaan di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang, Johor," katanya.

    Mohammad Razin berkata, JPN tegas menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara daripada manipulasi pemalsuan dokumen pengenalan diri.

    "Kami memberi komitmen tinggi meneruskan operasi seumpama ini pada masa akan datang sehingga kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri dapat dikekang sepenuhnya.

    "Semua 20 individu terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan memiliki kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 20 ditahan dokumen pengenalan diri palsu "