• 2 warga emas dipenjara, didenda kerana dera anjing

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    KAMPAR: Dua warga emas, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 7 hari dan denda RM7,800 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret hari ini bagi kesalahan mendera seekor anjing di Kampar pada November 2016.

    Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi Wong Then Yoong, 67, dan Aw Soon Fatt, 66, di akhir kes pembelaan .

    Kedua-dua warga emas itu didapati bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyeret seekor anjing menggunakan rantai besi sejauh 2.3km hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan itu di Jalan Batu Sinar, Bandar Baru, Kampar pada 11.00 pagi, 11 November 2016.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan dan Louis Liaw manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Onn.

    Terdahulu, peguam Syahredzan Johan memohon mahkamah mengenakan denda RM5,000 bagi setiap tertuduh tanpa hukuman penjara sambil menyatakan kedua-dua tertuduh menyesal dengan perbuatan mereka.

    Kenneth pula meminta hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran dan amaran kepada masyarakat supaya tidak mengulangi perkara sama.

    Sebelum ini, pada 29 November 2016, Wong dan Aw, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendera anjing mengikut Seksyen 44 (1)(d) Akta Binatang 1953, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.

    Bagaimanapun, pada 4 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan 2 warga emas itu didakwa semula atas pertuduhan mendera anjing itu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Kampar tidak mengikut pindaan akta terbaru.

    Pada 24 Ogos 2017, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " 2 warga emas dipenjara, didenda kerana dera anjing "