• 2 Lagi Polis Ditahan Terima Rasuah Bulanan

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan dua anggota polis selepas disyaki menerima sebahagian daripada wang rasuah berjumlah RM700 secara bulanan sejak November tahun lalu hingga Januari lalu.

    Menurut sumber, kedua-dua koperal dan lans koperal yang bertugas di daerah Muar itu dipercayai menerima rasuah bulanan sehingga Januari lalu.

    "Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 28 tahun dan 50 tahun itu menerima wang terbabit sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas majikan pengadu yang mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di tapak pembinaan sekitar pekan Pagoh.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu, seorang lans koperal ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM700 secara bulanan daripada seorang staf kontraktor sejak November 2017 sehingga Januari lalu.

    Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan mengambil pekerja buruh asing tanpa permit kerja bagi kerja pembinaan di sekitar pekan Pagoh.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit, namun enggan mengulas lanjut.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Lagi Polis Ditahan Terima Rasuah Bulanan "