• 2 Kru Maut, Helikopter Tempur Jepun Terhempas

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    TOKYO: Dua kru dipercayai maut hari ini selepas sebuah helikopter tentera Jepun terhempas di kawasan kediaman di barat daya negara itu, menyebabkan sebuah rumah terbakar.

    Menteri Pertahanan Itsunori Onodera mengesahkan insiden di bandar Kanzaki itu dan berkata, dua kru helikopter terbabit ditemui 'mengalami serangan jantung dan pernafasan,' lapor agensi berita Jiji.

    Ia adalah terma yang biasa digunakan pegawai Jepun sebelum kematian disahkan.

    Saluran televisyen NHK menunjukkan asap kelabu tebal menjulang dari tapak nahas antara bumbung rumah.

    Anggota bomba dilihat bergegas memadam kebakaran ketika penduduk dipindahkan dari kawasan terbabit.

    "Saya mendengar sesuatu bergegar di bumi. Saya segera keluar serta melihat api dan asap hitam. Agak mustahil insiden seperti itu berlaku di tempat seperti ini," kata seorang wanita yang tinggal berhampiran tempat nahas kepada NHK.

    Terdahulu, Onodera memaklumkan media, helikopter tempur Apache AH-64 itu terhempas di rantau Saga, Jepun dan meletup seperti bebola api.

    Pihak berkuasa tempatan mengesahkan tapak nahas adalah kawasan kediaman, menambah sebuah rumah terbakar. Bomba tempatan berkata, ia mengerah 14 jentera dan tiga ambulans.

    Media tempatan melaporkan, penghuni tiada di rumah ketika nahas berlaku. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Kru Maut, Helikopter Tempur Jepun Terhempas "