• 13 Rumah Atas Air Hangus

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+
    PELABUHAN KLANG: Sambutan Tahun Baharu Cina bertukar suram bagi penduduk Kampung Bagan Hailam di sini, apabila 13 rumah setinggan atas air yang dihuni mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sebahagian besar daripada mangsa berbangsa Cina berkenaan tiada di rumah kerana keluar berhari raya dan makan malam bersama keluarga.

    Api marak mengakibatkan semua kediaman berstruktur kayu berusia lebih 100 tahun itu hangus sepenuhnya, menyebabkan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.

    Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Musa, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 malam.

    "Seramai 42 pegawai dan anggota bersama lima jentera serta tiga tangki air dari Balai Bomba Pelabuhan Klang, Shah Alam, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Sungai Buloh dikerah memadamkan kebakaran itu.

    "Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak memusnahkan semua rumah berkenaan, namun sebahagian besar penghuni tiada di situ," katanya di tempat kejadian, pagi ini.

    Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pihaknya pada jam 11.55 malam dan padam sepenuhnya jam 1 pagi tadi.

    Juyana berkata, punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan itu yang juga

    saksi kejadian, Soh Eng Chew, 48, berkata dia terkejut melihat cahaya terang luar biasa ketika berada di sebuah tokong berdekatan.

    "Bagi mendapatkan kepastian, saya segera mengajak beberapa penduduk kampung lain menuju ke lokasi itu dan terkejut melihat kebakaran berkenaan.

    "Namun, kebakaran itu tidak merebak ke rumah saya yang berada sederet dengan lokasi kejadian. Sebahagian besar daripada penghuni keluar beraya di sekitar daerah ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 13 Rumah Atas Air Hangus "