• 11 pakej akhir Pan Borneo Sabah selesai ditender bulan depan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU: Sebanyak 11 pakej terakhir projek fasa satu Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan ditender tidak lama lagi dan dijangka dapat diserahkan kepada kontraktor menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

    Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd, Ir Shahelmy Yahya, berkata setakat ini tujuh pakej iaitu masing-masing empat di pantai barat dan tiga di pantai timur sedang dilaksanakan.

    Beliau berkata, sembilan pakej lagi sudah selesai ditender dan menunggu kelulusan Kementerian Kewangan, manakala empat pakej dalam proses analisis.

    "Sebanyak empat pakej lagi akan ditender selepas Tahun Baharu Cina. Semua pakej baharu ini adalah di kawasan pantai barat.

    "Penyerahan baki 11 pakej lagi akan diselesaikan selewat-lewatnya akhir Mac ini dan selepas itu tugas kita akan ditumpukan kepada pemantauan untuk memastikan semua pakej siap dibina mengikut jadual," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Secara keseluruhan, Shahelmy berkata, sebanyak 35 pakej ditawarkan kepada kontraktor bagi pembinaan lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu dengan 24 daripadanya sudah diserah, dalam proses ditender atau diserahkan kepada kontraktor.

    Katanya, berdasarkan perkembangan semasa pelaksanaan projek bernilai RM12.86 bilion itu, pihaknya yakin ia mampu disiapkan menjelang 31 Disember 2021.

    Beliau berkata, walaupun ada pihak meragui perkara itu, pihaknya memberi jaminan pelaksanaan projek berjalan lancar selepas proses tender dan penyerahan semua pakej kepada kontraktor selesai.

    "Kalau adapun masalah yang melambatkan kerja pembinaan, ia mungkin berpunca daripada keadaan cuaca dan proses pengambilan tanah. Namun, kita sudah mengingatkan semua kontraktor supaya memastikan kerja berjalan lancar mengikut jadual," katanya.

    Projek Pan Borneo Sabah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 24 April 2016 yang mana lebuh raya empat lorong dua hala tanpa tol itu bermula dari Sindumin, Sipitang di pantai barat negeri ini hingga ke Tawau di pantai timur.

    Antara pakej laluan yang giat dilaksanakan ketika ini ialah Sindumin-Kampung Melalia di Sipitang, Papar-Donggongon di Papar, manakala Lahad Datu Bypass, Batu 32-Lot M Sandakan dan Tawau-Semporna di pantai timur.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 11 pakej akhir Pan Borneo Sabah selesai ditender bulan depan "