• 10 Pengganas Daesh Ditangkap Di Sabah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia menangkap 10 suspek disyaki terlibat dalam aktiviti menguruskan kemasukan anggota pengganas dari Sabah ke selatan Filipina.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, semua suspek terbabit iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita ditangkap dalam operasi yang dilancarkan di Sabah dari 24 Januari hingga 6 Februari lalu.

    Beliau berkata, pada 25 dan 26 Januari lalu, lima lelaki iaitu dua warganegara Malaysia dan tiga warganegara Filipina berusia antara 33 hingga 50 tahun ditangkap di Sandakan, Sabah.

    “Dua daripada lima suspek bekerja sebagai buruh, masing-masing seorang bekerja sebagai pengurup wang tidak berlesen, pemandu bot penumpang dan penganggur.

    “Salah seorang suspek warganegara Filipina yang berusia 39 tahun pernah berbaiah taat setia di hadapan pemimpin kanan kumpulan pengganas di Selatan Filipina tahun 2000 dan pernah terlibat dalam beberapa siri latihan ala ketenteraan di salah sebuah kem di selatan Filipina.

    “Suspek juga menerima arahan daripada seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina untuk menguruskan kemasukan beberapa anggota pengganas Daesh dari Sandakan, Sabah ke selatan Filipina untuk menyertai kumpulan pengganas daesh di Zamboanga, Selatan Filipina,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

    Menurut Mohamad Fuzi, empat lagi suspek bertanggungjawab membantu suspek pertama menguruskan kemasukan anggota pengganas asing ke selatan Filipina dengan menjadikan Sandakan sebagai transit.

    Katanya, pada 4 Februari lalu pula, anggota polis menangkap empat suspek iaitu tiga lelaki warganegara Filipina dan seorang wanita tempatan di Penampang, Sabah yang masing-masing berusia antara 27 hingga 32 tahun.

    “Mereka ini bekerja sebagai tukang kebun, buruh, pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta dan penganggur.

    “Suspek lelaki berusia 27 tahun adalah anggota kanan kepada pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun mengatur kemasukan seorangn warganegara asing ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh,” katanya.

    Beliau berkata, dalam operasi itu juga pada 6 Februari lalu, anggota polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas berjaya menangkap seorang lagi suspek lelaki warganegara Filipina yang mempunyai taraf pemastautin tetap Malaysia.

    Suspek berusia 49 tahun itu, katanya, bekerja sebagai pemandu teksi dan didapati merancang untuk menyertai kumpulan pengganas daesh di Syria oleh pihak berkuasa Singapura.

    Sementara itu, menurut Mohamad Fuzi, pada 18 Februari lalu pihak berkuasa Singapura telah menangkap seorang lelaki warganegara Malaysia yang berasal dari Pulau Pinang.

    “Lelaki itu ditangkap kerana disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas daesh di Syria. Suspek ini berusia 34 tahun, bekerja sebagai pemandu lori.

    “Lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian E8(M), Cawangan Khas di Johor Bahru untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, hasil siasatan, maklumat awal yang diperolehi daripada 10 suspek itu, mendedahkan cubaan kumpulan pengganas ASG untuk menubuhkan sel di Sabah.

    Ia, kata beliau, sebagai persiapan untuk mengatur penyusupan masuk anasir perjuangan Daesh dari rantau Asia Tenggara bagi tujuan menjalani latihan ketenteraan di selatan Filipina.

    Ujar beliau, anggota sel yang sama juga akan digunakan untuk melancarkan serangan di Sabah pada masa hadapan.

    Katanya, semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA, Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " 10 Pengganas Daesh Ditangkap Di Sabah "