• Zaid Lepas Tuduhan Buat Kenyataan Jelik Terhadap PM

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat kenyataan jelik berhubung gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan yang disiarkan di blognya, tiga tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat Hakim Zaman Mohd Noor terhadap Zaid, 67, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

    Zaman dalam penghakimannya berkata, terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan, selain percanggahan kenyataan antara saksi pendakwaan.

    Beliau berkata, mangsa dalam kes ini tidak dipanggil memberi keterangan untuk mengetahui sama ada beliau terkesan dengan kenyataan dikeluarkan Zaid.

    "Mahkamah memerintahkan Zaid dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Zaid yang juga ahli DAP didakwa menggunakan aplikasi Internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan itu di http://www.zaid.my/current/rally-behind-tun-dr-mahathir-mohammad/ dengan niat menyakitkan hati orang lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, dekat sini, pada jam 3.20 petang, 3 September 2015.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum ini mengemukakan 10 saksi pendakwaan dan Zaid diwakili peguam M Puravalen.

    Pada 2 September 2015, Zaid memberi ucapan di Kelab Diraja Selangor, di sini, dan kemudian memuat naik ucapan itu di dalam blog beliau pada keesokannya. Ucapan itu juga dibacakan di dalam mahkamah.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Zaid Lepas Tuduhan Buat Kenyataan Jelik Terhadap PM "