• Yasin Tampil Artis Rap AS Dalam Single Baharu

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+


    Biarpun kelibatnya tidak selalu kelihatan di media dan pentas persembahan, istilah menyepi daripada dunia seni tidak pernah wujud dalam diri penyanyi, Yasin Sulaiman.

    Bahkan, artis yang mula menempa nama bersama kumpulan Brothers ini terus berjuang dengan cara tersendiri dalam mengangkat terjemahan seninya.

    Selepas muncul dengan single 2 Malaikat pada hujung tahun lalu, iaitu lagu dihasilkan khas bagi mengenang pemergian teman mereka daripada kumpulan terbabit, Salleh Deril, yang meninggal akibat serangan jantung pada 6 Oktober 2016, Yasin akan muncul pula dengan single berjudul Wahai Manusia.

    Sekian lama tidak muncul dengan single sendiri, Wahai Manusia yang turut menampilkan Altimet, Syrimo dan artis rap dari Amerika Syarikat (AS), Baraka Blue, dilihat mampu mengingatkan semula peminat kepada penyanyi serta komposer yang cukup terkenal dengan lagu Mimpi Laila ini.

    "Saya menjangkakan lagu ini akan mula dipromosikan pada bulan depan oleh pihak Warner Music.

    "Lagu yang bersifat ketuhanan ini ditulis sendiri liriknya oleh Baraka Blue. Ia mempunyai maksud yang sangat mendalam. Saya berharap ia mampu dihayati oleh kita semua dengan sebaik mungkin," katanya yang memuat naik teaser lagu berkenaan laman sosialnya, baru-baru ini.

    Tambah Yasin lagi, sekalipun tidak muncul dengan produk nyanyian, dia tetap aktif dengan pelbagai kerja belakang tabir.

    "Sekalipun lama juga tiada single baharu, kebanyakan masa saya dihabiskan di studio untuk kerja seni," katanya.

    Sementara itu, bercerita lanjut mengenai single 2 Malaikat yang dinyanyikan bersama dua lagi anggota Brothers, Faiz dan Syah, Yasin percaya masih ada yang terus membandingkannya dengan lagu Teman Sejati, karya yang menaikkan nama kumpulan nasyid itu.

    "Bagi mengulangi kejayaan yang sama seperti diraih Teman Sejati adalah sesuatu yang mustahil. Namun jujurnya, kami tidak pernah menjangkakan lagu yang diterbitkan kira-kira dua dekad lalu itu akan mencipta fenomena. Saya sendiri pun tidak pernah menyangka lagu Mimpi Laila akan menjadi popular.

    "Banyak faktor yang membolehkan sesebuah lagu meletup. Ia berbalik kepada tuah dan masa," katanya yang turut mencuba bakat lakonan dalam beberapa filem pada awal 2000. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Yasin Tampil Artis Rap AS Dalam Single Baharu "