• WhatsApp & FB Punca Ramai Nak Cerai

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    Purata sebanyak 10 permohonan cerai diterima Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu setiap hari dengan majoriti pasangan berumur antara 30 hingga 50 tahun.

    Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, ia membabitkan permohonan cerai taklik dan kes perceraian di luar mahkamah dengan tiada kesefahaman antara pasangan menjadi punca utama penceraian.

    "Biasanya dalam permohonan, pasangan akan menjadikan tiada persefahaman namun selepas diselidik, timbul sebab-sebab lain seperti suami tidak memberi nafkah dan curang.

    "Selain itu pertambahan kes juga disebabkan masyarakat semakin sedar akan hak dan kebajikan mereka dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku perceraian,” katanya pada Majlis Makan Malam Sempena Penubuhan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu (PPSNT) di Kuala Terengganu malam tadi/

    Beliau menganggap ia suatu perkembangan yang baik kerana masyarakat sudah mula celik mengenai undang-undang atau tuntutan yang mereka boleh lakukan selepas perceraian berlaku.

    PPSNT ditubuhkan pada Jun 2017 bagi mengumpul pegawai syariah negeri selain dapat menjalankan aktiviti yang dapat membantu masyarakat menyelesaikan masalah dalam bidang mereka.

    Wan Mohd Zakri berkata, media sosial juga turut menjadi antara faktor yang menyebabkan perceraian.

    "Trend penggunaan aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook boleh mengundang kepada keraguan pasangan yang secara tidak langsung mendorong kepada perbuatan curang apabila perhubungan biasa bertukar menjadi perhubungan mesra.

    "Saya akui isu adanya Facebook dan WhatsApp menyebabkan berlaku salah faham suami isteri sehingga membawa kes itu ke mahkamah seterusnya menyumbang kepada faktor yang membawa penceraian.

    "Kalau tidak digunakan dengan cara yang baik, jadi itu antara perkara yang boleh berlaku, semakin berkembangnya sistem, semakin timbul kesan sampingan.

    "Ada keburukan itu dan tidak boleh dinafikan tapi saya tidak kata buruk tetapi membawa kesan buruk jika disalahgunakan," katanya-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " WhatsApp & FB Punca Ramai Nak Cerai "