• Warga Korea Maut Kereta Terperosok Bawah Lori

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    TAIPING: Seorang lelaki warga Korea Selatan maut selepas kereta dipandu merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang di Kilometer 226.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, pagi tadi.

    Ketika nahas jam 7 pagi itu, Kim Eun Koo, 40, yang bertugas sebagai jurutera rangkaian dan memandu kereta PERODUA Myvi maut di lokasi kejadian.

    Pemandu lori yang membawa muatan perabot berusia 23 tahun tidak cedera.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Pulau Pinang.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa merempuh bahagian belakang lori yang diletakkan di bahu jalan berhampiran susur keluar R&R Bukit Gantang.

    "Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera di bahagian kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.

    Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kawasan berkenaan adalah jalan lurus satu hala dan terdapat dua lorong.

    "Pemandu lori ditahan dan dijangka direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota yang tiba di lokasi mendapati kereta dipandu mangsa terperosok di bawah lori berkenaan dan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

    "Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kereta berkenaan menggunakan alatan menyelamat dan pengusung sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    "Operasi mengeluarkan mangsa tamat pada jam 8.10 pagi," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Korea Maut Kereta Terperosok Bawah Lori "