• Warga Asing Pukau Juruwang, Songlap RM1,400!

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+
    TERPEDAYA… Tular menerusi media sosial dengan rakaman video seorang juruwang wanita dipukau dua individu warga asing dalam kejadian di sebuah pasar raya di ibu negara.

    Kejadian yang dipercayai dirakam pada Sabtu lalu itu dimuat naik oleh bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Zack menerusi akaun Facebook miliknya.

    Menurutnya, anak perempuannya itu mengalami kerugian kira-kira RM1,400 dan lebih aneh, ketika kejadian berlaku, tiada sesiapa pun yang menyedarinya.

    “Assalamualaikum sahabatku. Kejadian pukau di Kuala Lumpur oleh warga asing. Dalam video itu adalah anak saya. Kerugian RM1,400.

    “Memang bijak diorang ini. Menurut anak saya, dia kena bayar balik duit itu kepada majikannya. Tak adillah begitu, kasihan anak saya,” katanya dalam kapsyen video.

    Melihat pada rakaman, warga asing yang dipercayai berasal dari negara Timur Tengah itu pada mulanya cuba membayar dua air kotak jenama Milo dengan hanya menggunakan dua keping wang kertas RM1.

    Wang yang diletakkan di atas kaunter itu kemudian diambil oleh mangsa, sambil memaklumkan yang ia masih tidak mencukupi dan perlu ditambah beberapa ringgit sahaja lagi.

    Suspek kemudian meminta dipulangkan semula dua keping wang kertas itu dan ia digantikan dengan sekeping RM5.

    Bagaimanapun, suspek lelaki secara tiba-tiba cuba menunjukkan kepada mangsa wang RM5 itu seakan rosak dan perlu diganti.

    Pada saat inilah ilmu pukau pasangan terbabit dipercayai telah dipraktikkan dan mangsa pula dilihat ‘terdiam’ seketika dan hanya mampu menuruti permintaan mereka.

    Suspek lelaki tersebut malah dilihat secara selamba mengaut sejumlah wang dari mesin simpanan wang dan kedua-dua pasangan itu tidak lama kemudian beredar.

    Ekoran kejadian, mangsa telah dituduh cuai oleh pihak majikan dan lebih malang lagi, dia perlu membayar ganti rugi terbabit atau akan diberhentikan kerja.

    Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan warga asing terutamanya pekerjaan yang melibatkan urusan wang, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Asing Pukau Juruwang, Songlap RM1,400! "