• Wan Junaidi Lulus Peruntukan RM1 Juta Selamatkan Tebing Kampung Tambirat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Prihatin dengan nasib menimpa penduduk Kampung Tambirat dekat sini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta untuk kerja kecemasan selamatkan tebing runtuh.

    Dengan kelulusan itu menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak telah diarahkan untuk memulakan kerja kecemasan di kampung berkenaan bermula esok atau selewat-lewatnya Isnin minggu depan.

    "Sebelum ini hasil permohonan Ahli Parlimen Samarahan (Rubiah Wang) pada awal tahun lepas, saya mengadakan lawatan di tebing (Kampung Tambirat) dan meluluskan RM5 juta untuk projek penstabilan Tebing Sungai Tambirat.

    "Reka bentuk projek ini telah siap pada Oktober tahun lepas namun berlaku masalah melibatkan pelan konsep dan diharapkan masalah ini dapat diselesaikan bulan ini bagi memudahkan JPS memutuskan pelan akhir," katanya.

    Menurutnya, sekiranya pelan tersebut boleh disahkan bulan ini, beliau akan mengarahkan JPS membuka tender projek pada bulan Februari.

    Sementara itu, sekitar jam 3 petang tadi jalan di Kampung Tambirat runtuh dan menyebabkan tiga keluarga merangkumi 24 orang terputus hubungan.-Sarawakiana
  • No Comment to " Wan Junaidi Lulus Peruntukan RM1 Juta Selamatkan Tebing Kampung Tambirat "