• [VIDEO] Bagaimana Sindiket Antarabangsa ‘Pancing’ Pramugari Ini Jadi ‘Keldai Wang’

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+


    Deveshi Kulshrestha adalah seorang pramugari biasa yang bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan di India, tetapi tidak sehingga awal pagi Isnin apabila pihak berkuasa berjaya membongkar penglibatan dia dengan sindiket penyeludupan mata wang asing antarabangsa.

    ‘Keldai wang’ berusia 25 tahun itu ditahan pasukan perisikan negara itu bersama wang hampir S$500,000 (RM1,496358) dalam cubaan menyeludup keluar ke Hong Kong, lapor portal NDTV.

    Hasil maklumat, pihak berkuasa negara itu berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan tersebut kira-kira jam 2 pagi di lapangan terbang Delhi sebelum pesawat tersebut berlepas ke Hong Kong.

    Menurut portal tersebut, pihak berkuasa menemui 100 bungkusan wang dalam mata wang dolar yang dibalut menggunakan foil aluminium tersembunyi di lapisan bawah bagasi milik Kulshrestha.

    Pihak berkuasa berkata taktik itu digunakan bagi mengaburi mata pihak keselamatan di lapangan terbang.

    Wang tersebut masing-masing ditemui di dalam bagasi, dan disembunyikan di dalam beg alat solek dan beg tangan milik pramugari itu.

    “Suspek sudah menaiki pesawat. Penumpang-penumpang juga sedang memasuki pesawat. Selepas kami menerima maklumat, kami segera menghentikan penerbangan dan kemudian memeriksa beg tanga miliknya sebelum menemui wang tunai,” kata pegawai bertugas memetik NDTV.

    Soal siasat mendapati wanita itu adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dikenali sebagai hawala dan dilaporkan beberapa kali membawa masuk dan keluar wang asing dari India bagi pihak pengasas sindiket berkenaan yang berpangkalan di Delhi.

    Times Of India melaporkan pengasasnya, yang dikenal pasti sebagai Amit Malhotra, ditangkap pihak berkuasa di Vivek Vihar.

    Portal tersebut cuba mendedahkan Malhotra mula ‘memancing’ Kulshrestha untuk dijadikan ‘keldai wang’ pada Ogos tahun lalu selepas ‘kagum’ dengan layanan yang diberikan pramugari itu kepada penumpang.

    Ketika itu Kulshrestha sedang berehat seketika selepas selesai menghidangkan makan malam kepada penumpang dan kesempatan itu digunakan oleh Malhotra untuk mendekati dia dengan alasan ‘urusan perniagaan’.

    Pramugari itu berasa kagum dengan perwatakan Malhotra dan imejnya sebagai ‘ahli perniagaan’ sebelum masing-masing bertukar nombor telefon.

    Malhotra mula menjalankan ‘misinya’ dengan memberi tawaran bagaimana Kulshrestha boleh meraih pendapatan yang lumayan dengan cepat – iaitu dengan membawa keluar wang tunai – yang didakwa untuk diserahkan kepada rakan perniagaan lelaki itu ketika dalam perjalanan ke Hong Kong.

    Pada mulanya, pramugari itu agak bimbang dengan tawaran Malhotra tetapi akhirnya dia bersetuju dan Malhotra mengajar Kulshrestha cara-cara untuk mengelakkan kegiatan tersebut terbongkar.

    Wang tersebut dibalut menggunakan foil aluminium dan disusun kemas seolah seperti kepingan coklat bagi mengelakkan ia dapat dikesan oleh mesin pengimbas di lapangan terbang.

    Kulshrestha ‘diuji’ dengan membawa sejumlah wang kecil terlebih dahulu sebelum kepada jumlah yang lebih besar, lapor Times Of India lagi.

    Bagaimanapun, pada hari kejadian pihak berkuasa berjaya menghidu kegiatan tersebut dan menggagalkan rancangan penyeludupan wang asing itu.

    Kedua-dua tertuduh ditahan reman dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Metropolitan pada 11 Januari (semalam).

    Pihak polis percaya bahawa suami Kulshrestha juga terlibat dalam kegiatan tersebut kerana mustahil lelaki itu tidak menyedari jumlah wang tunai yang dibawa pulang ke rumah oleh isterinya. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " [VIDEO] Bagaimana Sindiket Antarabangsa ‘Pancing’ Pramugari Ini Jadi ‘Keldai Wang’ "