• UNIMAS Tumpu R&D

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+


    KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yakin produk hasil penyelidikan yang dijalankan oleh universiti itu mampu dikomersialkan.

    Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, berkata perkara itu bergantung kepada kerjasama daripada pihak industri dalam membantu mempromosi dan memasarkan produk berkenaan.

    "Ketika ini, beberapa produk hasil penyelidikan Unimas berjaya dikomersilkan di pasaran tempatan.

    "Kita amat mengalu-alukan kerjasama pihak industri bagi memastikan setiap produk dihasilkan menerusi penyelidikan dapat dikomersialkan.

    "Ini sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat," katanya pada sidang media Sambutan Kejayaan UNIMAS Dalam Pertandingan Rekacipta Antarabangsa Seoul 2017 (SIIF2017) dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi 2017 (PECIPTA17), di sini, hari ini.

    Katanya, daripada 15 pingat diperoleh dalam dua acara besar itu, UNIMAS dianugerahkan tiga pingat emas menerusi produk hasil penyelidikan dan ciptaan.

    "Dua pingat emas itu diperoleh pada SIIF2017 membabitkan produk hasil penyelidikan bertajuk 'Library in a Box' dan 'e-DiVO (Ethnograpic Digital Visual Organizer).

    "Satu lagi pingat emas diperoleh pada PECIPTA17 menerusi produk hasil penyelidikan bertajuk 'Versatility of Stingless Bee Honey' , iaitu produk kosmetik berasaskan madu kelulut," katanya .

    Dr Kadim berkata, selain tiga pingat emas, UNIMAS turut memenangi dua pingat perak dan satu pingat gangsa pada SIIF2017 yang diadakan di Korea Selatan pada 30 November hingga 3 Disember lalu.

    "Pada PECIPTA17 yang diadakan pada 7 hingga 9 Oktober tahun lalu di Kuala Nerus, Terengganu pula, kami turut memenangi dua pingat perak dan tujuh gangsa," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " UNIMAS Tumpu R&D "