• Tunggu Agihan Kerusi Sabah, Sarawak, Baru Tahu Siapa Dominan Dalam PH

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempersoalkan agihan kerusi yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) pada Ahad lalu, dengan berkata ia memberikan tanggapan seolah-olah PPBM mendominasi pakatan pembangkang itu walaupun kerusi di Sabah dan Sarawak belum dikira.

    Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To berkata hakikatnya, DAP mengekalkan kedudukannya sebagai “kuasa sebenar” di sebalik PH, oleh kerana parti itu bakal bertanding di antara 20 atau 30 kerusi lagi di Sabah dan Sarawak.

    “PPBM tidak akan bertanding di satu kerusi pun di sana kerana mereka tidak mempunyai cawangan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Pada konvensyennya Ahad lalu, PH mengumumkan agihan kerusi Parlimen di kalangan 4 parti di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    PPBM diberikan jumlah kerusi paling banyak iaitu 52 kerusi, diikuti oleh PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

    Tetapi menurut See-To, PH harus lebih jujur dengan mendedahkan agihan untuk seluruh negara dan tidak memberi tanggapan yang PPBM berkuasa.

    Menurutnya, kuasa sebenar dalam PH adalah DAP.

    Pada PRU lepas, DAP bertanding di 51 kerusi parlimen, 15 daripadanya di Sabah dan Sarawak.

    Menurut See-To, kebanyakan kerusi di mana PPBM akan bertanding pada pilihan raya nanti adalah kawasan pengaruh Umno dan PAS.

    “Lebih buruk lagi, terdapat kemungkinan perlawanan 3 penjuru di kerusi-kerusi ini, maka peluang PPBM untuk menang di kerusi-kerusi ini tipis dan mungkin tiada langsung”, katanya.

    Sebaliknya, DAP lebih berpeluang besar untuk menang kerana akan bertanding di kebanyakannya kawasan majoriti Cina.

    “DAP pasti akan mengekalkan kedudukan dominannya dalam Harapan,” katanya. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Tunggu Agihan Kerusi Sabah, Sarawak, Baru Tahu Siapa Dominan Dalam PH "