• Tun Mahathir Hanya Sejarah, Kekal Sejarah

    Published: Sunday, 21 January 2018
    A- A+

    PAKATAN pembangkang akhirnya mengumumkan calon Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang. Keputusan ini dianggap sangat mengecewakan ramai pihak kerana Dr Mahathir adalah calon 'kitar semula' yang sudah tercalar dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan.

    Dr Mahathir mungkin lupa, tetapi Melayu tidak lupa, Malaysia tidak lupa akan segala tindakan kotor dan jahat yang pernah dilakukannya. Walau berkali-kali Dr Mahathir memutarbelitkan, sejarah takkan boleh diubah dengan seribu penafian. Pada zaman Dr Mahathir, kebebasan bersuara hanya mimpi kerana sesiapa yang bersuara bakal disumbat ke dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

    Rasuah dan ketirisan dibiarkan berleluasa tanpa sebarang siasatan, wang negara diperjudikan dalam dagangan forex, sistem kehakiman diganggu dengan pemecatan Ketua Hakim Negara, kuasa Raja-Raja Melayu dihilangkan, anaknya dijadikan antara orang terkaya di Malaysia dan kini beliau sedang mengatur jalan untuk memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Perdana Menteri.

    Keputusan memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri membuktikan pembangkang ketandusan calon berkaliber yang layak memimpin gabungan parti mereka. Hal ini jelas boleh dilihat melalui kepemimpinan parti di bawah gabungan pakatan pembangkang yang hanya dipenuhi ahli keluarga semata-mata. Penuh gandingan anak beranak, ibarat parti milik sesebuah keluarga. Amalan nepotisme amat jelas dalam kalangan parti pembangkang.

    Harapan palsu

    Rakyat juga tidak lupa sejarah penubuhan PKR sendiri dengan mereka berjanji menegakkan keadilan dan sistem kehakiman. Bukankah usaha mereka untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan memanipulasi proses pengampunan Yang di-Pertuan Agong, suatu campur tangan jelas kepada sistem kehakiman negara?

    Rata-rata anak muda berpendapat mereka amat kecewa dengan calon Perdana Menteri pembangkang. Parti pembangkang yang sekian lama menjanjikan harapan baharu untuk masa depan negara, rupanya hanya menyajikan harapan palsu untuk rakyat Malaysia. Mereka berputus asa dengan generasi muda dan memilih untuk menaikkan seorang calon lama untuk ditunggangi pakatan pembangkang bagi mencapai hasrat menakluk Putrajaya, bukan dipilih atas dasar kepentingan rakyat dan negara.

    Lebih 4.5 juta orang muda dianggarkan akan turun mengundi pada pilihan raya akan datang. Adakah kita akan meletakkan nasib 4.5 juta rakyat Malaysia ini di tangan seorang bekas pemimpin yang terkenal di seluruh dunia sebagai diktator? Bagaimana hendak kita meletakkan kepercayaan kepada seseorang yang berumur hampir 93 tahun untuk memperjuangkan nasib generasi muda yang saban hari menghadapi cabaran baharu dunia moden?

    Bangkitlah belia, bangkitlah pemuda pemudi, bangkitlah daripada nostalgia dongeng yang didendangkan oleh pakatan pembangkang. Tiada yang indah untuk rakyat apabila pilihan raya dianggap hanya sebagai medan pertempuran politik bagi memperjuangkan agenda politik peribadi mereka. Tidak ada guna berharap pada pihak yang hanya memperjuangkan nasib seorang insan bernama Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Tiada guna kita berpaut pada pakatan yang hanya ditunggangi individu bernama Dr Mahathir bagi meneruskan legasi keluarganya. Masa depan negara untuk kita, masa depan negara di tangan kita.

    Tiada sesiapa yang mampu menjamin bahawa sandiwara kelas pertama Dr Mahathir akan berhenti selepas beliau menjadi Perdana Menteri. Menurut janjinya, beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri untuk tempoh singkat sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

    Ingatlah, pada saat Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir yang memecat beliau, memalukan, dan menyumbat beliau ke dalam penjara. Oleh kerana kegilaan kuasa Dr Mahathir, kisah ini mungkin berulang. Anwar mungkin akan dihalang sekali lagi oleh Dr Mahathir.

    Pakatan pembangkang terus memperjudikan nasib negara ini dengan menawarkan sebuah kerajaan yang masih jauh belum bersedia untuk menerajui Malaysia. Ketika ini, pakatan pembangkang masih gagal untuk bersetuju dengan bajet mereka sendiri, masih bertelagah mengenai dasar yang akan dijalankan, malah pemilihan Dr Mahathir masih ditentang oleh akar umbi. Perkara ini jelas apabila keputusan itu ditentang PKR Selangor.

    Pada saat genting ini, Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat. Hanya Barisan Nasional mampu melakukan transformasi sebenar bagi memacu negara ke arah lebih cemerlang dan terbilang. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tanpa gagal menjalankan dasar yang membawa impak kepada kemajuan negara termasuk pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan, Strategi Lautan Biru dan juga pelancaran Transformasi Nasional 2050.

    Usah termakan helah pembangkang

    Dr Mahathir hanya sejarah negara, dan beliau akan terus kekal berada dalam sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia Keempat. Tiada siapa yang mampu mengubah sejarah itu. Tetapi, kuasa di tangan kita untuk memastikan Dr Mahathir gagal dalam permainannya untuk merobek dan memperjudikan nasib dan kekayaan negara kita pada pilihan raya akan datang.

    Saya berharap rakyat Malaysia tidak akan tertipu dengan helah pembangkang dan mainan politik mereka. Pakatan pembangkang hari ini hanya pakatan wayang dan ia pakatan Dr Mahathir dengan pihak pembangkang, iaitu pihak pembangkang yang sudah sekian lama menggelarnya sebagai diktator, tidak demokratik, Mahazalim dan Mahafiraun, dan menjadi kaya raya melalui rasuah.

    Saya yakin dan percaya rakyat Malaysia akan memilih sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk terus membawa Malaysia ke hadapan, terus maju dan berjaya, setanding dengan kuasa besar dunia. Tampuk pemerintahan negara adalah sebuah amanah. Barisan Nasional takkan sekali-kali mengkhianatinya.

    Penulis adalah Naib Ketua Pemuda UMNO - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun Mahathir Hanya Sejarah, Kekal Sejarah "