• Tun M tidak Faham Konsep BR1M - CUEPACS

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), masih tertanya-tanya tahap kefahaman mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang tidak henti dipertikaikannya.

    Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata Dr Mahathir sering mempersalahkan apa saja yang cuba dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pada masa sama, sentiasa mahu meyakinkan masyarakat dirinya saja yang betul.

    "Saya tidak pasti apa yang masih menjadi tanda tanya, keraguan dan kemusykilan Dr Mahathir berkaitan BR1M kerana dia tidak henti mempertikaikan niat kerajaan membantu masyarakat berpendapatan rendah menerusi subsidi bersasar.

    "Pada zaman pentadbirannya, penjawat awam tidak banyak mendapat keistimewaan yang cuba diperjuangkan CUEPACS. Sebelum kerajaan memperkenalkan BR1M, rakyat diperkenalkan dengan pelbagai subsidi daripada kerajaan, tetapi subsidi lebih bermanfaat kepada orang kaya yang memiliki syarikat dan perniagaan, warga asing serta sesiapa saja di negara ini.

    "Ia tidak bermanfaat kepada sebahagian orang kampung dan masyarakat berpendapatan rendah kerana mereka tidak mempunyai duit memiliki kenderaan atau perniagaan kerana berstatus pengguna saja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Azih berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerusi Program Policy Talk: Sara Hidup, Jalan Penyelesaian yang disiarkan menerusi Facebook Live beliau hari ini.

    Dalam program itu, Dr Mahathir berkata, pemberian BR1M sebanyak RM1,200 maksimum setahun kepada rakyat tidak membantu kerana kos sara hidup semakin tinggi.

    Azih berkata, sebelum kerajaan merangka pelaksanaan BR1M, CUEPACS terlebih dulu bersedia membawa pelbagai cadangan yang menjurus kepada keistimewaan akan dimiliki penjawat awam di negara ini.

    "Kami di CUEPACS jelas matlamat kerajaan untuk membantu meringankan beban hidup rakyat berpendapatan rendah bagi membeli barangan keperluan asas harian seperti beras, ikan, daging, sayur-sayuran dan pelbagai lagi.

    "CUEPACS melihat ia suatu niat baik yang disalurkan secara terus kepada mereka yang layak. Jadi, kami menyarankan kepada kerajaan melaksanakan BR1M supaya penjawat awam juga dapat manfaatnya bersama.

    "Malah, sehingga kini dianggarkan lebih 40 peratus penjawat awam berpendapatan rendah dapat manfaat BR1M untuk meringankan beban mereka," katanya. - BH online

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M tidak Faham Konsep BR1M - CUEPACS "