• Tun M Silap Perlekeh Kerja Sampingan Graduan

    Published: Sunday, 21 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Puteri UMNO hari ini mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperlekeh pekerjaan sampingan graduan termasuk menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber bagi menjana sumber pendapatan.

    Kenyataan pengerusi gabungan pakatan pembangkang itu disifatkan sayap bongsu UMNO sebagai tidak bijak kerana pekerjaan itu dilakukan tanpa paksaan, sebaliknya secara rela untuk menambah pendapatan.

    Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata tidak salah untuk graduan melakukan kerja sampingan terutama yang mendapat sambutan daripada masyarakat.

    "Tindakan Tun (Dr Mahathir) itu tidak bijak sebab hari ini ramai golongan profesional seperti akauntan yang melakukan kerja sampingan termasuk menawarkan perkhidmatan Uber kepada orang ramai.

    "Kenapa tidak graduan melakukan kerja sampingan sedangkan mereka mempunyai banyak peluang, silap besar untuk Tun mengeluarkan kenyataan itu. Wanita muda hari ini perlu memikirkan kaedah lain untuk menambah pendapatan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Sahabat Puteri Barisan Nasional (Azalea 2018) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana di sini, hari ini.

    Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa peningkatan jumlah graduan tidak bekerja berdasarkan apa yang dipelajari secara akademik membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

    Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyatakan ramai graduan terpaksa bekerja sebagai pemandu untuk syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjual nasi lemak. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M Silap Perlekeh Kerja Sampingan Graduan "