• Tun M Kembali Akan Rosakkan Negara - TPM

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri boleh menyebabkan kerosakan kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata Dr Mahathir akan mengulangi kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukannya sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

    "Ini merupakan satu tindakan kitar semula dan akan membuatkan rakyat melihat bahawa tidak ada tokoh lain dalam Pakatan Harapan yang lebih layak menjadi perdana menteri," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, Selasa.

    Pada Ahad lepas, Pakatan Harapan turut mengumumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

    Terdahulu, Ahmad Zahid menggesa kelab pencegahan jenayah di peringkat sekolah diisi dengan pelbagai program dan aktiviti selain daripada ceramah bagi mendedahkan para pelajar tentang bahaya jenayah dan cara mengelaknya.

    Katanya, pihak sekolah perlu melaksanakan program berbentuk berhikmah dan mempunyai maksud tersirat termasuk menerusi kerjasama dengan pihak lain seperti Polis Diraja Malaysia agar pelajar dapat menghayati akibat kesalahan jenayah.-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M Kembali Akan Rosakkan Negara - TPM "