• Tumbangkan BN : Antara Realiti Dan Fantasi Pakatan Harapan

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+


    Dengan sokongan yang didakwa solid daripada pengundi bukan Melayu, kem Pakatan Harapan (PH) hari ini dilihat begitu gembira dan seolah-olahnya sudah tidak sabar lagi untuk bertarung menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak.

    Walau bagaimanapun, dalam keterujaan mereka untuk bersaing, ada beberapa perkara yang dilihat perlu untuk pakatan tersebut nilaikan semula dalam proses tersebut. Jika PH benar-benar memperhalusi kesemua hakikat ini, mereka sewajarnya tidak berasa terlalu selesa dengan iklim politik semasa yang tidak menentu dan tidak selalunya memihak kepada mereka.

    Ancaman Terhadap Survival Melayu?


    Mendepani PRU yang bakal tiba tidak lama lagi, sepatutnya mudah bagi PH untuk mencongak bahawa pengundi Melayu dan Muslim merupakan blok pengundi terbesar negara. Sementelah pakatan tersebut begitu teruja dengan sokongan yang ditunjukkan orang bukan Melayu terhadap kem PH, mereka tidak boleh terlalu cepat lupa bahawa undi orang Melayulah yang akan menjadi penentu keputusan PRU kali ini.


    Tahun 2017 yang baharu sahaja berlalu memperlihatkan kebimbangan ramai orang Melayu dan Islam mengenai hak dan kedudukan istimewa mereka yang semakin terancam. Situasi sebegini sudah berkali-kali dilihat berlaku di Pulau Pinang. Pergi sahaja ke negeri tersebut di sebelah pulau, kita akan dapati bahawa orang Melayu yang tinggal di seberang sana hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu, mencerminkan bagaimana mereka sedang ‘diketepikan’ secara perlahan-lahan dalam arus pembangunan negeri itu.

    Beberapa peristiwa penting dan masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia pada ketika ini mungkin sahaja termasuk isu pengharaman festival arak “Better Beer Festival” ataupun Oktoberfest, isu perkhidmatan dobi layan diri mesra Muslim dan larangan pemakaian tudung ke atas wanita Islam yang bekerja di kaunter hadapan sesetengah hotel. Reaksi sesetengah pemimpin politik pembangkang yang bukan Islam khususnya dari DAP dalam hal ini jelas mencerminkan kurangnya rasa hormat mereka terhadap institusi Islam di negara ini.

    Bahkan Pengerusi PH Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini sudah berani menyerang institusi Islam secara terbuka apabila beliau baru-baru ini menyelar para Mufti atas tindakan mereka yang berdiam diri sewaktu kontroversi Amanat Haji Hadi dan peristiwa Memali yang berlaku lebih 30 tahun dahulu. Atas perkembangan-perkembangan seperti inilah orang Melayu semakin gusar mengenai masa depan Islam di Malaysia dan mereka sememangnya mempunyai sebab dan alasan yang kukuh untuk berasa seperti itu. Jelas, kebimbangan mereka bukan lagi mengenai DAP semata-mata, tetapi ianya turut mengenai kegagalan parti komponen PH majoriti Melayu yang lain dalam mempertahankan institusi Islam di negara ini.

    Persaingan Islamisasi UMNO-PAS


    Mujurlah UMNO dan PAS cepat sedar mengenai hal ini. Keputusan PAS untuk keluar pakatan pembangkang pada 2015 sememangnya bijak dan tepat demi menjaga kesucian institusi Islam. UMNO pula semakin sedar dan membuka mata apabila melihat pelbagai usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat pelbagai agama dan bangsa di bawah satu identiti nasional terus diperkecilkan dan diperlecehkan oleh pemimpin politik bukan Islam yang tidak bertanggungjawab.


    Atas hakikat itulah UMNO kini dilihat mengambil tindakan yang lebih realistik dan pragmatik dengan mendekati PAS dan beberapa pertubuhan Islam yang lain dengan satu matlamat; memelihara dan menjaga kesucian institusi Islam dan Melayu di negara ini. Justeru kita melihat UMNO dan PAS sudah beberapa kali berpadu tenaga dan berkongsi pentas dalam isu yang melibatkan kepentingan umat Islam. Himpunan solidariti untuk Rohingya dan Palestin umpamanya menjadi contoh dan bukti paling konkrit kerjasama antara kedua-duanya biarpun UMNO dan PAS akan terus berentap bersaing sesama sendiri. Situasi ini setidak-tidaknya membuatkan orang Melayu dan Islam berfikir bahawa mereka mempunyai pilihan yang lebih baik menjelang PRU kelak.


    1MDB Isu Lapuk



    Untuk beberapa tahun ini juga, PH nampaknya terus bermain dengan isu 1MDB tanpa henti dalam usaha mereka untuk menjatuhkan YAB perdana menteri. Ya, isu itu pernah menjadi isu paling kontroversi. Tetapi PH perlu menyedari hakikat bahawa isu tersebut tidak akan memberikan impak yang besar dalam kalangan rakyat menjelang PRU nanti atas dua sebab. Pertamanya, skandal 1MDB yang didakwa melibatkan perdana menteri itu tidak pernah dibuktikan dan masih lagi menjadi dakwaan dan omongan kosong mereka. Malah, kerajaan dan pengurusan 1MDB sendiri telah tampil menepis dan menafikan sebarang salah laku dalam pengurusan syarikat milik negara tersebut. Keduanya, 1MDB tidak berkait secara terus dengan kehidupan rakyat kerana rata-rata rakyat hari ini melihat kos sara hidup sebagai faktor terpenting yang mencorakkan pola undian mereka kelak. Kajian oleh seorang felo pelawat di ISEAS-Institut Yusof Ishak membuktikan bahawa rata-rata rakyat berpendapat skandal tersebut adalah palsu, dengan sebahagian yang lain menyatakan mereka tidak faham dan tidak pun peduli tentang isu tersebut.


    Apatah lagi kini BN di bawah Najib telah tampil dengan pelbagai inisiatif, peluang dan bantuan kepada rakyat dalam meringankan beban dan kos sara hidup mereka. Bajet 2018 yang dibentangkan hujung Oktober tahun lalu memperlihatkan bagaimana kerajaan memperkasakan rakyat daripada segenap lapisan melalui bantuan dan sokongan yang disediakan sepanjang 2018. Hampir tidak ada satu pun golongan ataupun kelas rakyat yang terkecuali menerima faedah ini. Jadi sekiranya PH terus memilih untuk bermain dengan isu 1MDB, wajarlah mereka mendapati pada akhirnya bahawa strategi itu adalah permainan syok sendiri buat mereka.

    Mahathir Dan Liabiliti Buat PH


    Tidak lengkap bebicara tentang PH tanpa menyentuh mengenai Mahathir, sosok tubuh yang bakal mereka angkat sebagai perdana menteri sementara. Sewaktu PH melihat Mahathir sebagai calon perdana menteri paling sesuai, ramai rakyat di bawah sana termasuklah penyokong PH sendiri melihat Mahathir sebagai satu liabiliti kepada pakatan tersebut. Skandal forex dan Perwaja umpamanya terus menjadikan Mahathir sebagai individu paling tidak bersih yang pernah mengepalai kerajaan.


    Itu belum lagi disebutkan campur tangan beliau dalam institusi kehakiman dan polis sehinggakan kepercayaan rakyat terhadap kedua-dua institusi tersebut terhakis dengan begitu teruk sekali.

    Inilah yang cuba disampaikan oleh seorang penganalisis politik Malaysia dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Rashaad Ali yang berpendapat tindakan PH meletakkan Mahathir sebagai pemimpin nombor satu mereka hanya memberi “bola tanggung” kepada BN.

    Kedudukan Mahathir dalam PH kini hanya menjadikan beliau sasaran mudah penyokong kerajaan yang melihat beliau sebagai pengkhianat amanah dan perjuangan rakyat. Jika dahulu bekas perdana menteri itu merupakan pengkritik tegar pembangkang khususnya DAP, tindakannya hari ini untuk bermesra dengan parti tersebut membuatkan beliau dianggap sebagai orang yang tidak berprinsip. Keadaan itu diburukkan pula oleh situasi parti yang diasaskannya, PPBM, yang sehingga kini dilihat terumbang-ambing lantaran krisis kepimpinan dan pengurusan yang berlaku.

    PH Belum Matang Dan Bersedia


    Jika kesemua faktor ini digabung dan diambil kira, orang ramai yang rasional tentu akan melihat bahawa PH sebenarnya masih dalam keadaan tidak bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara. Mereka tidak sebulat suara dan bercanggah dalam banyak hal. Pemimpin utama mereka, Mahathir pula begitu bermasalah dengan pelbagai dakwaan skandal dan salah urus tadbir sepanjang 22 tahun pemerintahannya selaku perdana menteri. DAP pula semakin lama semakin berani menentang Melayu dan Islam secara terbuka. PPBM yang umpamanya sebuah kapal yang menanti masa untuk tenggelam pula gagal menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka boleh menggantikan UMNO sebagai tunjang orang Melayu. PKR dan AMANAH pula, biarpun menjadi parti majoriti Melayu, seolah-olah terikat tangan dan kaki serta dikunci mulut untuk bersuara mengenai kepentingan orang Islam dan Melayu.


    Lalu dengan segala kecelaruan ini, bagaimana rakyat mahu mengharapkan mereka untuk mentadbir negara pasca PRU kelak? PH kini kelihatan sudah kekeringan idea mengenai apa lagi cara yang boleh dilakukan bagi meyakinkan rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada. Maka dibuatlah beberapa himpunan dan ceramah bagi melonjakkan kembali momentum yang semakin hilang. Himpunan Turun-Turun di Dataran Merdeka pada ambang tahun baru yang lalu umpamanya menjadi satu lagi gerak kerja mereka untuk tujuan tersebut. Namun malang sekali sambutan yang diberikan orang ramai begitu “menghampakan”, menandakan betapa rakyat sudah penat dengan permainan politik seperti itu. Nyatalah, di sebalik keterujaan mereka untuk bertarung pada PRU nanti, PH masih gagal tampil sebagai alternatif yang berwibawa, mahupun pilihan yang layak untuk mengemudi kepimpinan negara. - MALAYSIANACCESS

    Subjects:

  • No Comment to " Tumbangkan BN : Antara Realiti Dan Fantasi Pakatan Harapan "