• Tolak Pemimpin Bermusim - Musa

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    SANDAKAN: Rakyat Sabah diingatkan tidak terpengaruh dengan 'pemimpin bermusim' yang cuma timbul menjelang pilihan raya.

    Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata pemimpin terbabit adalah golongan yang marah dan kecewa kerana kemahuan menjadi calon, ketua serta mendapatkan pangkat tidak dipenuhi ketika berada dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Katanya, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang setia dan terus bertahan bersama rakyat sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

    "Rakyat jangan terkeliru dengan anasir luar yang 'tumbuh macam cendawan selepas hujan' namun hilang selepas habis pilihan raya.

    "Mereka adalah pemimpin bermusim yang dulu tidak dicalonkan, mahu pangkat tak dapat, minta (gelaran) 'Datuk' tak dapat, sebab itu marah dan sakit hati," katanya ketika berucap merasmikan Program Sejahtera Bersama Rakyat di dewan Kampung Batu Putih, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk James Wong.

    Pada majlis itu, Musa mengagihkan sumbangan beg sekolah kepada 350 murid, tujuh penerima kerusi roda dan 200 penerima bantuan pertanian bagi tanaman lada.

    Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga turut menggesa ahli UMNO terus setia kepada parti dan memberi sokongan kepada sesiapa juga bakal calon yang dipilih kepemimpinan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Katanya, kerjasama daripada semua ahli mampu memastikan kemenangan besar BN.

    "Sesiapa saja calon BN (pada PRU-14), (ahli UMNO) harus beri sokongan untuk kita meraih kemenangan besar.

    "Kita (UMNO Sabah) ada 'brand' (jenama) iaitu sentiasa patuh dan setia kepada kerajaan kerana kita sedar banyak pembangunan disediakan kerajaan untuk membela rakyat," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tolak Pemimpin Bermusim - Musa "