• Tolak Kepimpinan Tun M

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+
    TUMPAT: Masyarakat Siam seluruh negara menghargai jasa yang diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, namun menolak sekiranya jawatan itu diambil semula.

    Pegawai Khas Menteri Besar Kedah merangkap wakil masyarakat Siam, Datuk Seri Boon Som Inong, berkata tempoh pentadbiran yang lama sudah cukup bagi Dr Mahathir, tambahan pula usianya 93 tahun untuk jawatan Perdana Menteri sudah tidak sesuai.

    "Kita memang berterima kasih atas jasanya selama 22 tahun memerintah negara, namun dalam usia sebegitu, dia sudah terlalu tua untuknya memimpin negara.

    "Pentadbiran masa depan negara terlalu tinggi kerana ia bergantung kepada perancangan yang baik dan bukan kepada ikon semata-mata," katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.

    Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Kasih Sayang Perdana Menteri kepada keluarga miskin masyarakat Siam di Wat Sukhomtharam, Kampung Kubang Panjang, di sini.

    Seramai 100 penerima menerima sumbangan makanan harian termasuk minyak masak, bihun, susu pekat dan makanan segera bernilai RM140 setiap satu.

    Turut dianjurkan dalam program sama adalah jamuan makan tengah hari ketua sami seluruh Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.

    Mengulas lanjut, katanya, jika jawatan Perdana Menteri digalas Dr Mahathir semula, sokongan tidak diperoleh daripada masyarakat Siam kerana majoriti kira-kira 80,000 etnik minoriti di seluruh negara itu menyokong Barisan Nasional (BN).

    "Ia berikutan kerajaan BN sudah banyak memberi sumbangan dan bantuan kepada masyarakat Siam terutama dari aspek pendidikan serta penyelenggaraan rumah ibadat mereka". - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tolak Kepimpinan Tun M "