• Tol Masih Murah - Tun Dr Mahathir

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kadar tol lebuh raya di Malaysia masih murah, berbanding negara lain.

    Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, bayaran tol perlu dikenakan bagi membolehkan lebuh raya diselenggara.

    Dr Mahathir juga memberi contoh bayaran tol di Jambatan Pulau Pinang hanya RM7 dua hala, dan tidak pernah dinaikkan sejak 1980-an, manakala bayaran melalui sebuah jambatan yang hampir sama di Jepun mencecah RM270 sehala.

    "Jambatan Pulau Pinang kadar tol RM7 sejak ia dibina pada tahun 1980-an, tak naik sekali pun.

    "Dan yang baru ini juga RM7. Saya berpendapat walau ada yang mengeluh, agak terlalu tinggi 'tol rate' ini, tetapi sebenarnya ini pergi balik kita bayar RM7, sedangkan jambatan lebih kurang sama di Jepun 'tol rate' lebih RM500.

    "Fikir-fikirlah sama ada kita (kerajaan) terlalu tamak mengenakan 'tol rate' terlalu tinggi? Buatlah perbandingan dengan mana-mana negara sekalipun," katanya dalam Program Policy Talk: Kos Sara Hidup, Jalan Penyelesaian? yang disiarkan menerusi Facebook Live beliau hari ini.

    Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun sehingga 2003 itu berkata, kerajaan di bawah pemerintahannya cuba memastikan kadar tol rendah dengan membeli tanah dan memberi pinjaman mudah kepada syarikat pengendali lebuh raya.

    "Tetapi masih ramai tak puas hati dengan tol dikenakan. Kalau tol tak dikenakan langsung, sukar nak selenggara lebuh raya utara selatan," kata Dr Mahathir.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi pakatan pembangkang turut menyentuh mengenai kenaikan kos sara hidup, pendekatan peningkatan gaji yang didakwa tidak dapat menangani kenaikan kos hidup, hutang negara dan isu pekerja asing. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tol Masih Murah - Tun Dr Mahathir "