• Tokan Dadah Antara 15 Ditahan

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    BALING: Seorang lelaki dipercayai aktif sebagai pengedar atau tokan dadah di sekitar daerah ini, khususnya di sekitar Pulai, ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, semalam.

    Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Tok Kaya, di sini, kira-kira jam 8 pagi semalam, bersama tiga lelaki lain disyaki penagih.

    Pemangku Ketua Pegawai AADK Daerah Baling, Nor Hajar Aswat Kamis, berkata serbuan sama semalam turut dilakukan di beberapa lokasi lain sekitar daerah ini, dengan 15 lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

    Antara lokasi terbabit, katanya di KEDA Kampung Sadik, Kampung Bukit Iboi, Kampung Mengkuang, Kampung Teluk Durian, Kampung Parit Panjang, Kampung Tok Weng, Kampung Ulu Sera, Taman Sebelah Perodua dan Kampung Padang Setol.

    Operasi turut dibantu anggota RELA dan Majlis Daerah Baling itu berikutan aduan awam serta risikan anggota AADK yang menyedari bahawa terdapat aktiviti yang tidak sihat di kawasan berkenaan.

    Nor Hajar Aswat berkata semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Baling untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati 14 daripada mereka positif dadah jenis opiat dan mentamphetamine, manakala seorang lagi negatif.

    "Pemeriksaan juga mendapati seorang daripada mereka berstatus orang kena tahan (OKT) yang diberi jaminan, namun gagal hadir perbicaraan mahkamah.

    "Mengenai tokan yang ditahan bersama tiga paket dadah dipercayai syabu, kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    "Baki yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dengan sembilan diperintah menjalani pemulihan di Pusat Tahanan Reman di Serdang, dekat sini, manakala dua lagi individu diberi jaminan oleh pihak AADK," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Tokan Dadah Antara 15 Ditahan "