• TN50 Bukan Legasi Najib Tetapi Legasi Rakyat – KJ

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Transformasi Nasional (TN50) adalah kesinambungan jangka panjang dalam usaha membangunkan Malaysia sama seperti Dasar Ekonomi Baharu dan Wawasan 2020.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kewujudan TN50 bukan bermakna Wawasan 2020 yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal.

    Sebaliknya Malaysia memerlukan sebuah aspirasi baharu yang mengambil kira perkembangan terkini yang tidak wujud sewaktu Wawasan 2020 dirancang.

    “Apakah Tun Dr Mahathir berpandangan bahawa selepas tahun 2020, kita tidak perlu lagi apa-apa perancangan jangka masa panjang dan tidak perlu lagi aspirasi yang baharu untuk membawa negara kita jauh ke hadapan?

    “Saya rasa rakyat Malaysia ingin melihat kita meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk 30 tahun akan datang dan bukannya menjadi sebuah negara yang jumud dan tidak lagi mengejar kemajuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Menurut Khairy, TN50 juga terpaksa mengambil kira perkembangan yang baharu yang tidak wujud dahulu. Wawasan 2020 tidak dapat menyediakan Malaysia untuk berhadapan dengan gangguan teknologi seperti artificial intelligence, augmented reality, dan Internet of Things.

    “Wawasan 2020 tidak menjangkakan Revolusi Industri ke-Empat yang bakal mengubah model pembangunan ekonomi dunia.

    “Wawasan 2020 tidak mengambil kira perkembangan masa depan yang ketara seperti penuaan masyarakat (aging society), kadar urbanisasi yang pantas dan keperluan untuk menjana tenaga hijau.

    “Ini antara sebab TN50 diperlukan – kerana perkara-perkara ini adalah pola baharu dan tidak terkandung dalam Wawasan 2020.

    “Secara mudahnya, TN50 bukan semata-mata legasi Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Barisan Nasional atau parti UMNO tetapi adalah legasi setiap rakyat Malaysia yang telah berkongsikan aspirasi mereka.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Khairy yang merupakan menteri bertanggung jawab mengumpulkan aspirasi belia TN50 menjawab tuduhan Dr. Mahathir yang mengatakan pelan jangka panjang Malaysia itu merupakan peniruan Wawasan 2020 dan merupakan pengakuan bahawa Wawasan 2020 tidak akan tercapai.

    Bekas perdana menteri itu juga menuduh TN50 adalah usaha untuk mengalih tumpuan rakyat daripada Wawasan 2020.

    Tambah Khairy, beliau tidak pernah menidakkan Wawasan 2020 dan sentiasa memberi sokongan ke atas gagasan tersebut namun TN50 masih perlu dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan kemajuan ekonomi Malaysia.

    “Saya sangat sedih dan kecewa melihat Tun menafikan aspirasi anak-anak muda Malaysia.

    “TN50 adalah suara generasi muda negara. Berjuta telah hadir untuk berkongsi harapan, impian dan aspirasi mereka untuk membina masa depan bersama.

    “Tetapi bagi anda, semuanya hanya berkisar tentang legasi peribadi. Ia telah menjadi Wawasan 2020 vs TN50. Sedih.

    “Sudah tidak terkira berapa banyak kali saya jelaskan dengan terperinci bahawa kedua-duanya mempunyai kepentingan sendiri dalam membentuk Malaysia. Ia adalah kejayaan dan pembangunan berterusan tetapi bagi anda, semuanya tentang legasi.

    “Segala-galanya hanya tentang anda,” katanya lagi.-theRakyat.

    Subjects:

  • No Comment to " TN50 Bukan Legasi Najib Tetapi Legasi Rakyat – KJ "