• Tindakan Dr M Jumpa Duta EU Aneh

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan duta-duta Kesatuan Eropah (EU) dan membawa cerita kononnya sistem pilihan raya negara tidak adil sebagai aneh.

    Perdana Menteri sebaliknya berkata, sistem pilihan raya diamalkan Malaysia yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sistem sama yang mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

    Malah katanya, sistem pilihan raya ketika ini sudah diperkukuhkan dan ia lebih telus dan bersih berbanding sebelum ini.

    "Bagi saya, tindakan Dr Mahathir itu bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi aneh sebab ia sistem sama yang mengangkat beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

    "Kita ada 'polling agent', ada 'counting agent', ada sistem dakwat (calit di jari), maka peluang untuk menipu boleh dikatakan tidak ada langsung.

    "Macam mana mereka boleh kata pilihan raya kita tidak adil. Soalnya selama 22 tahun Dr Mahathir jadi perdana menteri tetapi beliau tidak mengadu sistem itu.

    "Ia sistem yang sama kita amalkan sejak dulu dan ia kini lebih baik dari dahulu yang menentukan kelangsungan pemerintahan negara serta membawa kita dalam kemakmuran," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

    Najib yang juga Presiden UMNO berkata, apa yang dilakukan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai tindakan tersepit dalam merebut peluang mentadbir negara sehingga terpaksa mengadu dengan kuasa asing.

    "Apa pun keputusan mereka, hanya hendak menimbulkan kontroversi dan mempermainkan sistem pilihan raya yang angkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri selama 22 tahun," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tindakan Dr M Jumpa Duta EU Aneh "