• Tiga Suspek Kes Pecah Pejabat Ditahan

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+
    BINTULU, 25 Jan (Bernama) -- Polis menangkap tiga suspek lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes pecah sebuah pejabat di Parkcity baru-baru ini, pada 5 petang semalam.

    Ketua Polis Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata tiga lelaki berumur antara 22 dan 29 tahun itu ditahan di kawasan Parkcity Commercial Centre, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce oleh pasukan ronda cegah jenayah.

    "Hasil risikan menemukan pihak polis dengan pelbagai barangan disyaki dicuri seperti dua unit komputer riba dan tiga unit telefon bimbit yang disimpan di tempat tinggal suspek dan yang telah dijual," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah seperti alat pemotong besi, spanar dan pemutar skru.

    "Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke mahkamah majistret hari ini untuk mendapatkan perintah reman," katanya lagi. -- BERNAMA
  • No Comment to " Tiga Suspek Kes Pecah Pejabat Ditahan "