• Tiada Permohonan Tun M Mahu Jumpa Anwar - KP Penjara

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Jabatan Penjara serta Penjara Sungai Buloh tidak pernah menerima permohonan dari Tun Dr Mahathir Mohamad atau pihaknya bagi bertemu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

    Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar menjelaskan, kelulusan berjumpa atau tidak mana-mana individu dengan banduan tertakluk kepada undang-undang sedia ada selain kuasa di penjara itu sendiri.

    Jelasnya, setiap permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan urusan yang disifatkan antaranya sebagai mendesak dan mustahak seperti yang tertakluk di dalam peraturan berkenaan.

    "Kita perlu permohonan rasmi daripada Dr Mahathir sendiri, kalau tidak ada permohonan kita tidak boleh beri.

    "Seksyen 26 Akta penjara 1995 menjelaskan bahawa semasa dalam kawalan penjara, seseorang banduan yang masih berada dalam penjara tertakluk kepada semua undang-undang penjara," katanya semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

    Pada Rabu, Dr Mahathir Mohamad pergi ke Hospital Rehabilitasi Cheras dipercayai untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang mendapat rawatan di hospital tersebut.

    Dr Mahathir yang hadir bersama-sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilarang memasuki kawasan wad oleh 30 pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang berkawal.

    Dalam pada itu kata Zulkifli, pihaknya juga bimbang tentang keselamatan dan ancaman yang dihadapi sekiranya Anwar dan Dr Mahathir dibenarkan berjumpa.

    "Ia mungkin akan jadi kontroversi. Ada kebimbangan isu ini juga akan jadi tular," jelasnya.

    Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada memberi arahan kepada Jabatan Penjara untuk menghalang perjumpaan Dr Mahathir dengan Anwar.

    Jelasnya, kuasa memberi kebenaran bagi perjumpaan seumpama itu terletak pada budi bicara pihak Penjara Sungai Buloh, Selangor. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Permohonan Tun M Mahu Jumpa Anwar - KP Penjara "