• Tersilap Tekan 'Panic Button' Peluru Berpandu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    Hawaii dikejutkan dengan amaran serangan peluru berpandu antara benua hari ini, menyebabkan pelancong dan penduduk panik, bertempiaran mencari tempat perlindungan.

    Namun, amaran yang dihantar ke telefon bimbit menyatakan ‘ancaman peluru berpandu ke Hawaii. Cepat berlindung. Ini bukan latihan’ itu sebenarnya akibat kesilapan petugas tertekan ‘butang panik’ menyebabkan amaran dihantar secara automatik.

    Amaran itu turut disusuli amaran kecemasan yang disiarkan televisyen dan radio tempatan mengarahkan orang ramai masuk ke dalam bangunan atau, jika memandu, memberhentikan kenderaan mencari perlindungan.

    Selama 38 minit selepas itu, ketika pihak berkuasa berusaha memperbaiki keadaan, orang ramai meringkuk dalam tab mandi atau berlindung dalam garaj beramai-ramai sambil menangis dan berdoa.

    Ada yang meletakkan anak mereka dalam kolong longkang bawah tanah manakala tidak kurang juga menghantar pesanan kepada orang tersayang mengucapkan selamat tinggal.

    Menurut pihak berkuasa, latihan rutin ketika pertukaran syif pada 8.05 pagi (waktu tempatan) menyebabkan amaran secara tidak sengaja itu dicetus dua minit kemudian oleh seorang kakitangan Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii (HI-EMA).

    Menurut Daily Mail, pentadbir EMA, Vern Miyagi, dan Gabenor Hawaii, David Ige, memohon maaf terhadap kejadian itu.

    Menurut Vern, kakitangan terbabit tidak menyedari amaran sudah dihantar dan mereka hanya menyedarinya selepas telefom bimbit kakitangan dalam pusat pemerintahan menerima pesanan berkenaan.

    Pesanan menyatakan tiada ancaman hanya dihantar kepada penduduk 38 minit kemudian.

    Kedua-dua mereka bagaimanapun, tidak menyatakan kemungkinan tindakan bakal dikenakan terhadap kakitangan itu.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Tersilap Tekan 'Panic Button' Peluru Berpandu "