• Terima Suapan Lebih RM3 Juta?

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+
    KOTA KINABALU: Tiga pegawai Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang ditahan reman untuk siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai menerima suapan daripada kontraktor bernilai lebih RM3 juta sejak 2011.

    Ketiga-tiganya adalah pegawai kanan jabatan itu berusia 37, 39 dan 58 tahun. Turut ditahan seorang kontraktor berusia 42 tahun.

    Mereka ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu antara jam 12 tengah hari semalam hingga jam 11.30 malam tadi.

    Sumber SPRM memberitahu, JKNS menganugerahkan projek penyenggaraan dan kecemasan kepada 27 syarikat sejak 2011, namun siasatan mendapati semua projek itu hanya dilaksanakan oleh satu syarikat kontraktor.

    Katanya, kontraktor terbabit meminjam lesen semua syarikat terbabit dengan setiap syarikat menerima komisen antara lima hingga 10 peratus daripada nilai sebenar setiap projek yang dianugerahkan JKNS.

    Difahamkan, pasukan penyiasat turut merampas wang tunai kira-kira RM170,000 daripada beberapa suspek yang ditahan, selain merampas dua motosikal berkuasa tinggi.

    "Hasil siasatan juga mendapati pegawai JKNS itu mempunyai harta yang melebihi emolumen atau pendapatan daripada pekerjaan mereka," katanya.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan pihaknya kini dalam proses merakam percakapan saksi bagi membantu siasatan.

    Pagi tadi, keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

    Mereka direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung salah laku berkaitan projek kereta api di negeri ini.

    Keempat-empatnya ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung pemberian rasuah membabitkan projek jabatan kerajaan negeri itu dari 2012 hingga 2017.

    Perintah dikeluarkan dalam kamar oleh Majistret Cindy MC Juce Balitus, susulan permohonan SPRM mendapatkan perintah reman bagi empat individu terbabit yang berusia 38 hingga 58 tahun, pada jam 9.45 pagi.

    SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin manakala semua empat individu itu tidak diwakili peguam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Terima Suapan Lebih RM3 Juta? "