• Tekong Gagal Seludup Barang Kawalan

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    TAWAU: Taktik seorang tekong bot cuba menyeludup keluar pelbagai barangan kawalan bernilai RM13,292 yang disembunyikan di sebalik longgokan barangan runcit lain gagal apabila ditahan, petang semalam.

    Tekong bot warga tempatan itu ditahan sepasukan Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama dua pegawai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), jam 4.30 petang semalam.

    Pemeriksaan dijalankan selepas bot jongkong terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jeti Sri Diamond Logpond, Sungai Tanjung Batu, dekat sini.

    Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Yazid Abd Aziz, berkata tekong bot berumur 46 tahun itu kemudian ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar barangan kawalan ke Indonesia.

    "Hasil pemeriksaan terhadap bot jongkong menemui 3.6 kilogram (kg) gula pasir, minyak masak sebanyak 340 kg dan tujuh tong gas memasak yang disimpan bawah longgokan barang runcit," katanya di sini hari ini.

    Mohd Yazib berkata, suspek gagal mengemukakan lesen atau dokumen berkaitan pemilikan barangan bersubsidi berkenaan daripada Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

    "Kesemua barang rampasan termasuk bot jongkong bersama satu unit enjin dianggarkan bernilai RM57,292 dibawa ke pangkalan PPM untuk siasatan lanjut.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tekong Gagal Seludup Barang Kawalan "