• Tanya Duit Warna Apa, Pakcik OKU Dituduh 'Berlagak'

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Kisah seorang pemuda membantu menghantar seorang warga emas orang kelainan upaya (OKU) ke masjid di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi tular hanya kerana 'warna wang kertas'.

    Semuanya bermula apabila pemuda itu yang dalam perjalanan untuk makan tengah hari ternampak OKU berkenaan di hadapan sebuah hotel sambil memegang kertas meminta bantuan orang awam untuk menghantarnya ke masjid.

    Menerusi posting yang dimuat naik di Facebook, pemuda berkenaan menulis: “Yang sedihnya, pakcik ni cakap ‘banyak sangat kereta lalu-lalang tapi tak ada satu pun yang berhenti. Pakcik tau pakcik orang susah, buta sebab tu orang tak nak tolong pakcik.”

    Dalam pertemuan itu, pemuda tersebut turut memberi sedekah wang kepada warga emas berkenaan.

    “Pakcik tu tanya warna apa ni, kemudian saya beritahu warna apa," tulisnya.

    Namun dialog itu menjadi buah mulut netizen yang mempersoalkan kewajaran si penerima sedekah bertanyakan warna wang yang diberikan kepadanya.

    Seperti yang telah dinyatakan dalam postingnya, Muhammad Irzaq Khalis Razzali, 30, sekali lagi tampil menjelaskan bahawa Pakcik Haris yang dibantunya itu adalah OKU cacat penglihatan yang turut mendakwa dirinya disisihkan daripada keluarganya.

    “Saya tahu ada dua jenis buta, ada yang tak nampak langsung dan ada yang samar-samar. Dan Pakcik Haris ni memang tak nampak langsung.

    “Saya ada bagi dua keping wang kertas kat dia. Bila dia tanya warna apa, ia untuk memudahkan urusannya sebab dia buta. Dia nak minta orang tolong hantarkan pun pakai kertas,” katanya kepada mStar Online.


    Lebih dikenali sebagai Khalis, pemuda tersebut menjelaskan bahawa ini bukan pertama kali dia bertemu dengan Pakcik Haris.

    Selain ke masjid, Pakcik Haris turut meminta bantuan orang ramai untuk menghantarnya pulang ke hotel dan sekitar Setiawangsa.

    Penyelam komersial sambilan ini berkata, dia pernah membantu pakcik itu ke Masjid Mu’adz Bin Jabal di Setiawangsa pada November lalu, malah ibunya turut membantunya minggu lalu.

    “Tiga kali kami bantu hantar Pakcik Haris ke masjid, sekali pun dia tidak pernah minta duit daripada kami walaupun dia mengadu mengalami kesusahan.

    “Saya ikhlas bantu sebab saya tahu dia orang susah. Malah dalam ‘posting’ pun sudah dinyatakan ia ditulis bukan untuk riak, tapi minta jasa baik orang ramai tolong tumpangkan pakcik ni kalau ternampak dia berdiri sambil pegang kertas di kawasan berdekatan Keramat dan Setiawangsa,” katanya.

    Difahamkan, selain ke masjid, Pakcik Haris turut mempunyai kertas lain yang meminta bantuan orang ramai menghantarnya pulang ke hotel dan kawasan sekitar Setiawangsa.

    Bagaimanapun dia tidak pasti berapa lama Pakcik Haris telah menginap di hotel tersebut, tetapi difahamkan warga emas itu mendapat sumbangan orang ramai selain mendapat kadar rendah untuk penginapannya atas belas ihsan.

    Selain isu wang, segelintir netizen turut mempertikaikan sikap Pakcik Haris yang didakwa 'berlagak' semasa mereka membantu warga emas itu.

    Namun Khalis meminta orang ramai supaya membantu sesiapa pun dengan ikhlas tanpa merungut selain bersangka baik kepada orang yang dibantu.

    “Kepada mereka yang mengadu, mungkin ada sebab Pakcik Haris berkelakuan begitu. Kalau dia dikata tak nak dihantar guna motor atau jalan kaki, mungkin ada alasan tersendiri macam trauma disebabkan pengalamanan sebelum ini.

    “Kalau dia hempas pintu kereta, mungkin dia tak sengaja sebab mahu cepat ke masjid. Apa saja bantuan yang kita beri, biarlah ikhlas dan bersangka baik. Janganlah hina orang ditolong tu,” katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Tanya Duit Warna Apa, Pakcik OKU Dituduh 'Berlagak' "