• Tangkis Fitnah Dengan Fakta – Zahid Hamidi

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Dalam keadaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan bila-bila masa pada tahun yang disifatkan paling mencabar, semua pihak diminta supaya memainkan peranan dalam menangkis sebarang cubaan untuk memburukkan imej kerajaan.

    Perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut mahu supaya semua warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan bertindak pantas dalam memberi penjelasan yang sebenar kepada rakyat terhadap isu-isu yang dimainkan di luar.

    Beliau berkata, tindakan itu penting kerana menjangkakan tahun 2018 ini akan menjadi lebih mencabar.

    “Jangan selesa dan cepat berpuas hati kerana tahun ini akan jadi paling mencabar kerana pelbagai isu yang akan dimainkan oleh pihak tertentu khasnya apabila Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan bila-bila masa dari sekarang.

    “Bukan sahaja isu dalam negara, tetapi juga isu luar negara juga akan timbul yang mana kita dapat melihat bibit-bibit krisis yang berlaku di negara Islam di Teluk, isu Baitulmaqdis, isu Korea Utara dan sebagainya.

    “Kesemua cabaran dalaman dan luaran ini sudah tentu memberi implikasi keselamatan kepada negara,”katanya di Majlis Penyampaian Buku Perancangan Strategik KDN 2018 di Putrajaya di sini.

    Sehubungan itu, beliau mengharapkan warga KDN di semua peringkat jabatan dan agensi supaya menggembleng tenaga dan bersedia untuk menjawab dan menangkis semua maklumat yang tidak sahih.

    Dalam perkembangan sama, katanya, warga KDN perlu menyediakan perkhidmatan terbaik selain menjamin dan memelihara keselamatan rakyat serta memastikan cubaan untuk menjejas atau memburukkan imej kerajaan khususnya dan KDN dapat ditepis.

    “Anda semua perlu bersedia dengan maklumat serta fakta yang tepat untuk menjelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak lari dari dasar kerajaan yang diusahakan demi kesejahteraan berterusan,” tegasnya. – theRakyat



    Subjects:

  • No Comment to " Tangkis Fitnah Dengan Fakta – Zahid Hamidi "